Lihat Tiga iPhone 2018 Baru Yang Bakal Dilancarkan

Menurut laman TrendForce, jualan Apple iPhone 8, 8 Plus, dan X pada tahun 2017 lebih rendah daripada yang diharapkan. Permintaan untuk iPhone X belum begitu kuat seperti yang dijangkakan kerana pengguna masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan harga yang tinggi.

Walaupun prestasi pasaran siri iPhone 8 dan iPhone X tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, jualan iPhone secara keseluruhannya dikekalkan oleh populariti model dari generasi terdahulu. Jualan keseluruhan iPhone untuk tahun 2017 mencapai sekitar 216 juta unit, hampir sama dengan angka tahunan untuk 2016.

Apple dijangka akan memperkenalkan tiga iPhone model baru untuk tahun ini. Ketiga-tiga iPhone akan mengekalkan fungsi face ID, dan dua daripadanya datang sebagai model premium dengan skrin AMOLED.

iPhone 2018 yang akan dilancarkan ini terdiri daripada tiga saiz skrin yang berbeza iaitu 5.8,6.1 dan 6.5-inci. Setiap model iPhone ini bakal hadir dengan saiz storan serendah 64 GB.

Harga yang paling rendah bagi iPhone 2018 dengan skrin LCD 6.1 inci dijangka sekitar $599 (~RM2,449.73). iPhone 2018 bajet ini dikatakan bakal hadir dengan fungsi dual-sim. Model iPhone 6.5 inci pula dikatakan akan mengekalkan harga seperti sebelum ini iaitu $999 (~RM4,085.61). iPhone 6.5 inci ini juga dijangka boleh menyokong Apple Pencil.

Jika jangkaan ini semua benar, penggunaan Apple Pencil pada iPhone bakal memberi perubahan yang besar dan pastinya memberi impak kepada pengeluar telefon pintar yang lain untuk sama-sama memberikan saingan terhadap fungsi ini.