“Katanya Tak Datang Kelas Sebab Hujan” – Pensyarah Terjah Kolej Gara-Gara Separuh Pelajar Tak Datang Kelas

Tugas seorang guru atau pendidik bukanlah semudah seperti yang disangka. Mereka berusaha mendidik anak bangsa tanpa menghiraukan penat dan lelah demi melihat kejayaan generasi ini pada masa akan datang.

Iospital phone repair gombak

Seperti satu video di laman sosial yang merakamkan seorang pensyarah kanan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Hisyam Che Mat telah menziarahi kolej pelajar gara-gara ramai pelajar yang ponteng kelas.

Menerusi video tersebut, Hisyam Che Mat berkata, tujuannya adalah untuk mencari pelajar yang ponteng dan mencari punca sebenar mengapa pelajar ini ‘liat’ mahu ke kelas. Iyalah, mana lah tahu jika mereka sakit atau ada masalah kewangan kan.

Pensyarah terjah pelajar ponteng kelas

Memetik laporan Harian Metro, pensyarah ini dah mengajar sejak 23 tahun lalu mula menziarahi pelajar di rumah sewa atau kolej bermula tahun 2000 hingga 2003.

“Saya mengajar sejak 23 tahun lalu dan kalau diikutkan sudah buat begitu (ke rumah sewa dan kolej kediaman penuntut) sejak awal lagi, seingat saya bermula tahun 2000 sehingga 2003.”

“Sebenarnya, saya terikut cara didikan salah seorang pensyarah saya di Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika belajar dulu malah saya ikut dia ‘terjah’ ke rumah penuntut yang tidak datang ke kelas.

“Jadi apabila masuk mengajar di UiTM, saya gunakan pendekatan yang sama dan pelajar lama saya dahulu sudah tahu cara saya cuma penuntut baharu mungkin tidak tahu.

“Disebabkan itu, ada yang terkejut apabila saya datang ke rumah mereka tempoh hari tetapi percayalah, niat saya cuma nak tengok dan tahu apa punca atau masalah mereka tidak hadir ke kelas.

“Mana tahu ada yang demam atau ada masalah kewangan,” ujarnya kepada Harian Metro.

Saya minta kebenaran pengetua kediaman terlebih dahulu

Ujarnya lagi, sebelum melawat pelajar dia akan habiskan kelas mengikut jadual yang ditetapkan. Selepas itu, dia akan meminta kebenaran daripada pengetua kolej ditemani kakitangan kolej kediaman dan beberapa penuntut lain.

“Sebelum terjah, saya habiskan kelas mengikut jadual dan minta kebenaran dulu daripada pengetua kolej kediaman.

“Saya juga tidak datang berseorangan namun ditemani kakitangan kolej kediaman bersama beberapa penuntut lain yang akan merakam video kemudian kongsikan rakaman.

“Mulanya video itu hanya dimuat naik di Instagram (IG) dan Facebook (FB) peribadi untuk rakan terdekat.

“Kemudian barulah saya kongsi di TikTok, Alhamdulillah, 99.9 peratus beri komen positif, cuma segelintir saja persoalkan dan anggap perkongsian itu mengaibkan serta cuba sekat hak asasi penuntut,” katanya.

Menurut Hisyam, ada juga netizen yang menasihatkannya supaya memberi tumpuan kepada tugas hakiki sebagai pensyarah saja.

Saya perlu tahu kebajikan pelajar

“Ada yang minta saya ajar saja sampai habis silibus dan kata buat apa nak menyibuk?

“Ikutkan saya boleh saja buat begitu namun sebagai pensyarah yang juga dilantik sebagai pengetua pelajar ‘Non Residen’ (NR), iaitu pelajar tinggal di luar, jadi saya perlu ambil tahu mengenai kebajikan mereka.

“Ia kerana saya mahu mereka utamakan pelajaran dan jadi manusia berguna nanti terutama kepada keluarga dan negara,” katanya.

Ditanya hala tujunya, Hisyam berkata, dia belum terfikir untuk mengucapkan selamat tinggal dalam bidang pendidikan.

“Saya percaya aturan Allah buat saya amat cantik kerana selain mengajar, saya dapat peluang membantu pelajar.

“Jadi setiap kali balik rumah, saya akan berasa puas dan lega kerana dapat kongsi ilmu dengan penuntut.

“Nasihat saya kepada penuntut di luar sana, jangan ponteng kelas kerana ia satu kerugian dan tidak taksub dengan permainan video yang boleh menyebabkan leka dengan pelajaran,” katanya.

Meskipun ada yang tak puas hati dengan pendekatan yang dibuat, pensyarah ini berkata dia rasa bertanggungjawab sebagai seorang pendidik di mana dia tak boleh berkompromi apabila ada pelajar sengaja tak datang ke kelas.

Video yang tular di laman TikTok

@hisyam_chemat Replying to @⛅️ ♬ original sound – Hisyam