Filem Abang Long Fadil Raih RM18 Juta Dalam 11 Hari Tayangan, Yusof Haslam Luah Rasa Syukur

Terdahulu, filem komedi aksi Abang Long Fadil arahan Syafiq Yusof ini telah mengutip kutipan tinggi dan komen-komen yang positif dari penonton sejak mula ditayangkan beberapa tahun yang lepas. Sejak 2014 lagi filem ini mengumpul RM 2.1 juta selepas 4 hari tayangan dan mendapat RM 4.61 juta selepas tamat tayangan di tiga buah negara.

Bukan itu sahaja, ada pihak yang menyifatkan pemilihan barisan pelakon cukup sesuai dan tepat dengan genre komedinya malah pemilihan watak utama Zizan Razak sangat memberi peranan yang penting dengan kejayaan filem ini. Kesinambungan filem Abang Long Fadil yang kedua pula mencetus fenomena apabila berjaya mengatasi filem-filem dari luar negara dengan mencatat kutipan sebanyak RM5 juta.

Oleh kerana sambutan yang memberangsangkan ramai pihak yang menyuarakan hasrat mereka untuk menonton filem ini lagi serta berharap ianya akan diteruskan ke trilogi.

Pun begitu, tahun ini menyaksikan filem Abang Long Fadil yang kembali untuk kali yang ke-3 ini telah meraih sambutan yang hebat oleh peminatnya sejak mula ditayangkan di pawagam pada 8 September lepas. Setakat ini, filem Abang Long Fadil 3 berjaya meraih kutipan sebanyak RM18 juta hanya dalam tempoh 11 hari.

Memetik sumber, Pengerusi Skop Productions Datuk Yusof Haslam yang juga merupakan wakil penerbit filem berkenaan telah meluahkan rasa syukur kerana filem arahan anaknya ini berjaya menambat hati semua golongan terutamanya keluarga. Dalam pada masa yang sama, turut mengucapkan ribuan terima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh penonton.

“Alhamdulillah atas sambutan yang memberangsangkan ini. Menerusi platform sosial media serta tinjauan pihak kami menerusi siri jelajah Abang Long Fadil 3 (road tour) baru-baru ini, kami mendapati rata-rata penonton filem ini yang hadir ke pawagam adalah dari golongan keluarga…”

“Saya dan rakan penerbit Astro Shaw ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah menonton filem arahan Syafiq Yusof dan kami harap bagi yang belum menonton filem ini agar tidak lepaskan peluang untuk menyaksikan serta berhibur dengan Abang Long Fadil 3” katanya.