TV Al Hijrah Tayang Filem dan Rancangan Istimewa Sempena Aidiladha 2020

Sempena Hari Raya AidilAdha pada tahun ini, TV AlHijrah menyajikan penonton dengan pelbagai rancangan menarik yang sesuai ditonton seisi keluarga.

TV AlHijrah mengangkat tema Pengorbanan Suci sebagai kempen istimewa bagi meraikan Aidiladha 1441H.

TV AlHijrah menghidangkan pelbagai rancangan istimewa

Bertepatan dengan tema AidilAdha pada kali ini, TV AlHijrah akan menghidangkan pelbagai rancangan istimewa buat semua penonton setia mereka.

Antaranya adalah Siaran Langsung Pertukaran Kain Kiswah, Kapsul Tabung Abah, Bual Bicara Baitullah Rindu Yang Tertangguh, Dokumentari Mencari Mabrur, Tabung Abah, Filem Tiada Tajuk, Filem Lima Penjuru Masjid, Telefilem Bos Mama Kirim Salam Aidiladha dan E-Kaunter.

Selain itu, TV AlHijrah juga turut bekerjasama dengan Kementerian Media Arab Saudi dan telah bersetuju untuk berkongsi maklumat terkini perjalanan ibadah haji yang hanya dihadkan kepada 10,000 jemaah sahaja.

SINOPSIS RANCANGAN-RANCANGAN AIDILADHA TV ALHIJRAH

1) SIARAN LANGSUNG PERTUKARAN KAIN KISWAH

Siaran langsung ini akan bersiaran pada 30 Julai 2020, jam 10 pagi.

TV AlHijrah membawa penonton untuk sama-sama menyaksikan proses pertukaran kain kiswah Kaabah ini secara langsung.

Turut diselitkan sepanjang siaran langsung ini adalah sejarah pembuatan kain kiswah, kisah pertukaran kain kiswah pada zaman sebelum kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW sehinggalah teknologi yang digunapakai untuk menyiapkannya.

2) BUAL BICARA BAITULLAH RINDU YANG TERTANGGUH

Rancangan bual bicara ini akan bermula 27 Julai 2020 dan akan disiarkan pada hari  Isnin hingga Khamis pada jam 9 malam.

Baitullah Rindu Yang Tertangguh adalah sebuah program bual bicara mengenai pengalaman para petugas Tabung Haji, petugas kesihatan, para duyufurrahman.

Malah, rancangan ini juga akan berkongsi curahan hati bakal jemaah Haji yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini.

Menerusi 8 episod siaran, para penonton akan bersama Ustaz Muhammad
Abdullah Al-Amin selaku hos rancangan dan ditemani panel-panel jemputan.

3) DOKUMENTARI MENCARI MABRUR

Dokumentari ini akan disiarkan pada 31 Julai 2020 pada 6 petang.

Ia merupakan sebuah program yang membawa penonton untuk sama-sama merungkai, memahami dan menghayati perjalanan suci para duyufurrahman dalam mencari keampunan teragung dan cinta terindah di Baitullah.

Turut dimuatkan di dalam dokumentari ini adalah kisah pensyariatan ibadah haji, rukun haji, tempat-tempat bersejarah di Mekah dan Madinah.

4) KAPSUL TABUNG ABAH

Kapsul Tabung Abah ini akan menemui penonton bermula pada 26 hingga 30 Julai 2020 setiap 7.25 malam.

Apa yang menarik adalah ia merupakan kapsul berdurasi 3 minit yang memaparkan kisah pengorbanan seorang ayah dalam memastikan anak kesayangannya mendapat segala yang terbaik di dunia ini.

5) TELEFILEM TABUNG ABAH

Telefilem Tabung Ayah akan menemui penonton setia TV AlHijrah pada 31 Julai 2020 jam 7.30 malam.

Telefilem ini sesuai untuk ditonton seisi keluarga kerana ia mengisahkan kisah kasih sayang dan pengorbanan abah dalam membesarkan anak kesayangannya Hassan.


Setelah berpenat lelah mengumpulwang selama 15 tahun bagi menunaikan haji ke Mekah, usaha dan ikhtiar abah diuji Allah.

Abah membuat keputusan untuk bekorban wang tabungannya demi menyelamatkan nyawa Hassan.

Adakah abah masih berpeluang untuk menjadi tetamu Allah? mampukah Hassan membalas jasa abah? Saksikan kesudahannya dalam telefilem istimewa ini.

6) FILEM TIADA TAJUK

Selain itu, TV AlHijrah juga akan menyisarkan filem yang bakal mengundang gelak tawa penonton menerusi Filem Tiada Tajuk yang akan disiarkan pada 31 Julai 2020 jam 9 malam.

Filem Tiada Tajuk berkisarkan tentang tiga orang pemuda kampung yang ingin menjadi penyanyi rock dan pop terkenal.

Mereka berimpian besar tetapi tidak dihargai di kampung mereka dan dianggap sebagai kutu kampung.

Pelbagai cabaran dan dugaan perlu mereka hadapi demi mencapai impian.

Tanpa diduga, satu peluang keemasan namun mereka harus menonjolkan bakat sebagai penyanyi nasyid. Bolehkah mereka berjaya suatu hari nanti?

Barisan pelakon terdiri daripada Hazama, Joey Daud, Along Cham, Achey Bocey, Mawi, Ropie, Kamarul Hj Yusof, Amirah Othman, Johan As’ari.

7) FILEM LIMA PENJURU MASJID

Filem Lima Penjuru Masjid akan menemui para penonton pada 1 Ogos 2020 jam 9 malam.

Filem Lima Penjuru Masjid berkisar tentang perjalanan hijrah lima pemuda iaitu Bewok, Abian, Lukman, Gani dan Budi yang telah terpaut hati mereka pada masjid.

Mereka adalah gambaran tentang manusia yang lalai namun akhirnya menjalani kehidupan yang baik melalui solat lima waktu.

Kisah Bewok bermula apabila dia ditangkap kerana percubaan mencuri duit tabung masjid.

Namun, nasibnya baik kerana dia tidak diserahkan kepada pihak polis sebaliknya hanya didenda untuk menjadi penjaga masjid selama 40 hari.

Budi pula seorang mahasiswa yang sedang dilanda masalah kerana tidak mampu menyelesaikan tunggakan yuran pengajian.

Berbeza pula dengan Abian, dia diuji apabila muzik yang diperkenalkan kumpulannya tidak mendapat sambutan peminat.

Lukman dan Gani tidak terkecuali diuji. Perniagaan kedai dobinya berhadapan dengan masalah besar yang sukar diselamatkan.

Takdir menemukan kelima-lima mereka di Kawasan masjid. Mereka berbicara sambil berkongsi kisah kehidupan masing-masing

Antara barisan pelakon terdiri daripada Aditya Surya Pratama, Zikri Daulay, Alfie Alfandy, Faisal Azhar Harahap, Zaky A Riva’i, Ahmad Syarif dan ramai lagi.

8) TELEFILEM BOS MAMA KIRIM SALAM AIDILADHA

Telefilem Bos Mama Kirim Salam Aidiladha akan bersiaran pada 2 Ogos 2020 jam 9 malam.

Baihaqi terpilih untuk mengerjakan Haji. Pelbagai persiapan telah dbuat
termasuklah mengikuti kursus haji.

Namun konflik timbul apabila Taufik tidak berpuas hati kerana merasakan dia lebih layak menjadi tetamu Allah.

Konflik antara Baihaqi dan Taufik berterusan sehinggalah kerajaan Malaysia
mengumumkan penangguhan pelaksanaan ibadah haji bagi tahun 1441H.

Baihaqi sedih dan kecewa tetapi dia redha dengan aturan Allah. Pelakon terlibat adalah Qazem Nor, Carolina Binur Nina Fazurina dan Zee Khan Hussein.

9) E-KAUNTER NETIZEN: SYAMSUL DEBAT AIDILADHA

Rancangan ini akan disiarkan 31 Julai 2020 dan 1 Ogos 2020 pada jam 7.30 malam.

Program E-Kaunter Netizen Istimewa AidilAdha adalah sebuah program di mana
saudara Syamsul Debat akan menjawab berkenaan apa jua persoalan masyarakat berkaitan isu-isu berkaitan ibadah korban dan sambutan perayaan Aidiladha.

Semoga rancangan yang dihidangkan oleh TV AlHijrah bakal menyerikan lagi kemeriahan sambutan Hari Raya AidilAdha anda pada tahun ini.