“Kisah wayang sial tak ramai yang tahu.” Nam Ron Dedah Realiti Sebenar Panggung Wayang di Malaysia

Sejak dari minggu lepas, dunia hiburan kita disajikan dengan sebuah filem epik Mat Kilau yang menjadi fenomena.

Boleh dikatakan di seluruh pelusuk media sosial, pasti akan ada yang berbicara tentang filem yang penuh dengan aksi dan perjuangan orang Melayu ini.

Rata-rata pastinya merasa bangga dengan kutipan jutaan ringgit yang berjaya dibawa pulang oleh produksi filem ini.

Manakan tidak, baru sahaja seminggu ditayangkan, Mat Kilau mampu meraih RM23 Juta!

 

Dikatakan kutipan ini adalah terpantas di dalam rekod sebuah filem tempatan yang ditayangkan di negara kita.

Namun, di sebalik kegembiraan tersebut, pelakon dan juga pengarah tersohor, Nam Ron membuka cerita realiti sebenar nasib pihak produksi filem tanah air.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Nam Ron merungkai ‘kisah sial’ yang mungkin ramai orang tak tahu.

Menurutnya, setiap kutipan jualan tiket wayang haruslah dikongsikan dengan pihak panggung wayang mengikut peratusan.

Bahkan, peratusan ini akan meningkat naik dari minggu ke minggu filem tersebut ditayangkan.

Kisah wayang sial tak ramai yang tahu.

Sebuah filem ditayangkan di panggung wayang.

Minggu pertama, panggung wayang mengambil 50% dari kutipan

Minggu ke dua, panggung wayang mengambil 60% dari kutipan

Minggu ke tiga dan seterusnya, panggung wayang mengambil 70% dari kutipan
Kerajaan mengambil 25% dari keseluruhan kutipan.

Orang ramai terhibur menonton wayang. Panggung wayang senang senang buat untung.
Kerajaan tak kisah yang penting cukai 25% tak boleh kurang.

Penerbit buat kira kira baki kosong kosong.

Itulah kisah sial diluahkan penerbit filem yang ramai orang tak tahu. Anak wayang terus ditekan kiri kanan depan belakang.

Rata-rata warganet terkejut dengan pendedahan tersebut dan menyifatkan ianya satu perkara yang tidak adil buat anak seni tanah air.

Perkongsian tular di laman Facebook:

Untuk rekod, Nam Ron juga merupakan salah seorang tonggak utama dalam filem Mat Kilau di mana beliau memegang watak sebagai Haji Sulong.

Filem itu turut disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su sebagai Tok Gajah, Beto Kusyairy sebagai Wahid, Khir Rahman sebagai Usup, Fattah Amin sebagai Awang dan Johan As’ari membawa watak sebagai Yassin.

Tak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.