Tak Sebut Nama Semasa Terima Anugerah Punca Suami Youtuber Sugu Pavithra Naik Minyak?

Hari ini kecoh di media sosial apabila suami Youtuber sensasi Pavithra iaitu M. Sugu telah direman oleh pihak polis selama tiga hari.

Pasangan Youtuber sensasi itu dikenakan tahanan reman tiga hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Ipoh kerana disyaki mencederakan isterinya menggunakan senjata berbahaya dalam satu kejadian di pekarangan luar wad bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, semalam.

Menerusi laporan Sinar Harian, kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 5.54 petang itu, suspek berusia 29 tahun dalam keadaan mabuk telah membawa senjata sabit ke hospital mencari isteri dan adik iparnya berkaitan satu masalah keluarga.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan berkenaan berkaitan satu majlis di Ipoh, Isnin lalu.

Perselisihan terbabit berlanjutan sehingga suspek datang ke hospital dan dalam keadaan marah telah memukul isterinya berusia 28 tahun di pekarangan hospital berkenaan.

Ia dipercayai selepas mangsa tidak menyebut nama suaminya ketika menerima satu anugerah baru-baru ini.

BACA: Youtuber Sugu Pavithra Akan Diiktiraf Ikon Anak Bandar Raya Ipoh

Majistret Nabihah Mohd Noor membenarkan perintah reman terhadap suspek berusia 29 tahun itu.

Ia bagi membantu siasatan dakwaan mencederakan isterinya mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan siasatan awal mendapati kes berpunca daripada perselisihan faham ahli keluarga,” katanya.

Tangkapan ke atas suspek dilakukan petang semalam di lokasi kejadian mengikut Seksyen 6 (1) dan Seksyen 326A.

Polis mendapatkan tahanan reman ke atas suspek selama tiga hari, bermula hari ini.

Pasangan Sugu Pavithra sebelum ini menjadi tumpuan seluruh netizen Malaysia apabila saluran Youtube mereka menjadi trending.

Sehingga hari ini mereka telah mempunyai hampir 800,000 subscribers di laman Youtube.

Malah, hasil daripada pendapatan Youtube membolehkan M. Sugu berhenti kerja dan membawa semua keluarganya berpindah ke rumah baru.

BACA: [VIDEO] Selesai Cuci Rumah Baru, Sugu Pavithra Pindah Barang Kelengkapan

Pasangan ini juga pernah mendapat perhatian Perdana Menteri dan menerima hadiah berupa barangan dapur dan alat fotografi.


BACA: [VIDEO] “Plan nak masak untuk jiran2 kami” Sugu Pavithra Kongsi Hadiah Dari PM

Bahkan, kedua-duanya pernah menjadi jemputan pada satu program yang dihadiri oleh Perdana Menteri.