Majlis Bandaraya Ipoh Perjelas Kenapa Sugu Tak Layak Dapat Anugerah Ikon

Semalam seluruh netizen Malaysia dikejutkan dengan penahanan Youtuber terkenal, M. Sugu di atas dakwaan mencederakan isterinya, Pavithra.

Dikatakan punca perselisihan antara mereka berlaku disebabkan oleh Pavithra tidak menyebut namanya semasa menerima anugerah dari Majlis Bandaraya Ipoh.

Rentetan daripada isu tersebut, Majlis Bandaraya Ipoh membuat penjelasan mengapa nama M. Sugu tidak tersenarai sebagai penerima anugerah.

BACA: Tak Sebut Nama Semasa Terima Anugerah Punca Suami Youtuber Sugu Pavithra Naik Minyak?

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Syahrizal Azmi, pengiktirafan Ikon Bandaraya Ipoh yang diberikan kepada YouTuber masakan, S Pavithra adalah atas kapasiti beliau sebagai anak kelahiran Ipoh.

Tambah beliau lagi, anugerah sama tidak boleh diberikan kepada suami wanita itu yang merupakan anak jati Sungai Siput.

Menurutnya, pengiktirafan status ikon itu juga hanya melibatkan penerima individu dan bukan atas ‘Sugu Pavithra’ yang merupakan jenama saluran YouTube kendalian pasangan berkenaan.

“MBI memberi pengiktirafan ini hanya kepada Pavithra seorang kerana dia berasal dari Buntong, Ipoh manakala suaminya dari Sungai Siput.

“Ia sebagai satu bentuk penghargaan atas usaha dan pencapaiannya sebagai anak kelahiran Ipoh membina kerjaya menerusi bakat dimiliki,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, suami yang juga pasangan YouTuber sensasi didakwa tidak berpuas hati apabila namanya tidak tercalon untuk menerima anugerah Ikon Bandaraya Ipoh.

Perselisihan faham itu berlanjutan hingga membawa kepada kejadian pukul di pekarangan luar wad bersalin Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.54 petang itu, tindakan suspek yang berada dalam keadaan mabuk dan memegang sebilah sabit disedari jururawat dan pengawal keselamatan hospital.

Susulan kejadian itu, tiga laporan polis dibuat terhadap lelaki berkenaan di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh.

Polis telah mendapatkan tahanan reman terhadap suspek selama tiga hari bermula semalam bagi siasatan kes di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.