[VIDEO] Restoran Terkenal Didakwa Hidang Mi Kari Daging Babi Diserbu

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memeriksa dan merampas bahan mentah berupa daging ayam, di sebuah restoran terkenal di Subang Jaya semalam, susulan tular sebuah video mendakwa mi kari yang dijual premis itu mengandungi daging babi.

Menerusi laporan Kosmo, Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, hasil pemeriksaan dilakukan kira-kira pukul 11 pagi itu mendapati premis berkenaan mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, sijil tersebut masih dalam tempoh sah sehingga 30 November ini.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat tiga orang pekerja warga Myanmar yang bertugas sebagai tugas masak berdasarkan keterangan pengurus restoran terbabit.

“Pemeriksaan lanjut anggota ke bahagian dapur restoran telah menemui bahan mentah yang digunakan untuk menyediakan menu mi kari kepada pelanggan.

“Bahan mentah utama iaitu daging yang disyaki daging ayam disita bagi tujuan ujian makmal dan keterangan oleh pakar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, turut disita semasa pemeriksaan adalah sijil halal Jakim dan dokumen penghantaran bahan mentah oleh pembekal.

Kata Muhamad Zikril, pengurus premis turut memaklumkan bekalan bahan mentah dipesan oleh pihak ibu pejabat syarikat restoran terbabit.

“Kes disiasat dibawah kesalahan Perintah 3(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, KPDNHEP Selangor akan terus memantau serta memeriksa bagi memastikan mana-mana pemegang sijil halal JAKIM sentiasa mematuhi peraturan selain menekankan aspek kesucian dan kebersihan bagi menjamin kemaslahatan pengguna Muslim di negara ini.

Video tular dakwaan mi kari daging babi

Sebelum ini telah tular video berdurasi 41 saat yang mendakwa restoran tersebut menyediakan mi kari daging babi.

Dalam pada itu, menerusi laman Facebook Bahagian Hab Halal JAKIM, satu kenyataan mengenai status halal restoran tersebut telah dijelaskan.

Penjelasan Isu Status Halal Mi Kari OLDTOWN White Coffee 

Ramai pengguna di media sosial mula menularkan video yang mendakwa Mi Kari OLDTOWN White Coffee tidak halal kerana menggunakan daging babi dalam kandungan mi kari mereka.

Berdasarkan semakan pihak kami, premis makanan OLDTOWN White Coffee merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Perlu difahami bahawa premis makanan yang memiliki SPHM bermaksud seluruh rantaian halalnya telah disemak dan disahkan oleh pihak berautoriti.

Untuk makluman juga, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah mengunjungi cawangan OLDTOWN White Coffee berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut dan mengesahkan bahawa dakwaan yang tular melalui video berkenaan adalah TIDAK BENAR.

Justeru, masyarakat dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu berita atau mesej tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah, salah faham sesama ummah dan menjejaskan keharmonian negara.

Selain itu, masyarakat pengguna juga digalakkan untuk mengutamakan produk atau premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah kerana ianya dijamin halal dan toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard serta perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.