[VIDEO] Bertahun-tahun Jaga Anak Angkat, Wanita Ini Sebak Serahkan Semula Pada Ibu Kandung

Hati siapa yang mampu menahan rasa sedih apabila terpaksa berpisah dengan anak tersayang.

Walaupun bukan anak kandung sendiri dan hanya bergelar anak angkat, naluri keibubapaan pastinya membuatkan hati tak mampu untuk melepaskan setelah kasih sayang dicurah dengan penuh keikhlasan.

Itulah perasaan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga ini seperti perkongsian oleh wanita dikenali sebagai Tuhfah Nazihah Tarmizi di laman Facebook miliknya.

Menerusi perkongsian tersebut, Nazihah merakamkan momen terakhir adik angkatnya bersama keluarga mereka sebelum dikembalikan kepada keluarga kandung.

Di dalam video yang dimuat naik itu, ibunya, Norlida Abu Hassan menangis teresak-esak memberikan ciuman dan dakapan terakhir kepada anak angkatnya itu selepas enam tahun menjaganya.

Bahkan, kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Amir itu turut kelihatan muram dan sedih menahan tangisan serta cuba memahami perpisahan yang bakal berlaku.

Menjelaskan lebih lanjut, Nazihah memberitahu pada awalnya ibunya menawarkan diri untuk menjaga kanak-kanak tersebut selama dua minggu sementara ibu Amir sedang melanjutkan pengajian ketika itu.

Dengan takdir Allah, mereka diberi peluang untuk menjaga sehingga enam tahun. Kini, ibu Amir datang mengambilnya kembali apabila sudah mempunyai kehidupan yang lebih stabil.

Biarpun berat menerima kenyataan itu, Norlida reda menerima kenyataan terpaksa melepaskan anak tersayang.

Dia merelakan anak itu pulang ke pangkuan ibu kandung dan bersyukur dengan kenangan indah bersama selama enam tahun.

“Malam terakhir kami bersama..Pergi lah Nak pada ibu mu. Ibu kandung mu lebih berhak ke atas mu Umi hanya sekadar utk kau menumpang kasih..6 tahun kita bersama. walaupun perit dengan perpisahan ini..umi perlu belajar utk redha.”

Rata-rata netizen amat terkesan dengan perkongsian tersebut dan mendoakan agar keluarga itu kat dalam menghadapi ujian ini.

Didoakan semoga keluarga ini tabah menghada[i perpisahan dengan  insan tersayang dan semoga ikatan kekeluargaan yang dibina akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat.