[VIDEO] Anak Buat Kejutan Setelah 5 bulan Tak Balik. Lihat Reaksi Ibu Apabila Terkena Silap Mata Anak Sendiri

Hampir lima bulan berada di perantauan, seorang remaja lelaki menjadi perhatian di media sosial apabila tiba-tiba muncul di pintu rumah dan membuat kejutan kepada keluarga tersayang, lapor mStar.

Kejutan yang dilakukan oleh Muhammad Fahmi Mohd Yunus  untuk ibunya menerima pelbagai reaksi netizen di Facebook.

Pemuda yang baru berusia 19 tahun itu melanjutkan pelajaran sebagai kadet tentera udara di Maktab Tentera Diraja (RMC), Kanada telah membuat kejutan sebaik pulang ke tanah air selepas pertama kali terpaksa berjauhan dengan keluarganya.

“Asalnya saya tiada perancangan untuk balik cuti Krismas kerana ingatkan tak dapat tiket untuk pulang ke Malaysia malah sudah merancang untuk menghabiskan cuti di rumah keluarga angkat di Amerika Syarikat.

“Tetapi seminggu sebelum cuti bermula, saya dimaklumkan kerajaan Kanada beri tiket penerbangan untuk balik ke Malaysia.

“Asyik-asyik buat surprise dekat girlfriend je, alang-alang saya buat untuk keluarga pula,” katanya ketika dihubungi mStar Online

Fahmi yang merupakan anak keempat daripada enam beradik ini mengatakan dia sudah lama berhajat untuk melakukan kejutan seperti ini dan hanya menantikan masa yang sesuai.

“Saya dapat idea nak buat kejutan sejak di sekolah asrama lagi. Saya tengok Youtube yang US military balik surprisekan keluarga dan girlfriend mereka.

“Jadi saya pun teringin untuk buat seperti itu. Bila difikir-fikir, ini masa yang sesuai nak buat walaupun baru berjauhan lima bulan dengan keluarga.

“Saya merancang bersama kakak dan adik-adik saya untuk surprise kan ayah dan ibu,” ujarnya.

Ayah Fahmi juga berkhidmat sebagai seorang pegawai kanan tentera.

Video Fahmi membuat kejutan kepada keluarganya itu menjadi bebenang di laman Twitter sehingga mendapat lebih 18,000 ulang kicau dan lebih 17,000 tanda suka.


Video berdurasi 58 saat memaparkan reaksi kedua-dua ibu bapa terharu melihat kehadiran anak lelaki mereka yang pulang secara mengejut ke tanah air.

Ia mendapat pelbagai respons di laman Twitter sejak ia dimuat naik Khamis lalu.

Fahmi memberitahu ini bukan pertama kali dia melakukan kejutan buat keluarganya malah pernah beberapa kali melakukan perkara sama.

“Semua adik-beradik saya rapat dengan keluarga cuma saya anak yang paling nakal dan selalu buat hal. Bila sekali-sekali saya buat perkara sentimental seperti ini, mesti mereka tak sangka.

“Cuma kali ini saya terfikir untuk rakam dan dijadikan kenangan

“Yang penting surprise itu menjadi. Reaksi ibu dan ayah seperti mereka tidak percaya sebab dia tak sangka pun saya balik. Reaksi ibu paling kelakar kerana dia menyangka adik lelaki saya, Muhammad Affan buat silap mata dengan menukar baju. Pada hal ia adalah saya,” ujarnya.