“Saya mendapat tahu dia berkawan rapat dengan lelaki lain” Bakal Pengantin Hilang

Tarikh perkahwinan sudah dekat, namun bakal pengantin perempuan pula dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya yang sebelum itu berkata mahu bertemu dengan rakannya di Bangsar untuk mengedarkan kad jemputan perkahwinan.

Kehilangan Nur Izuana Atikah Mohd Ridzuan, 22 menimbulkan rasa bimbang keluarganya dengan tarikh majlis pula pada Ahad ini.

Bapanya, Mohd Ridzuan Makip, 47, berkata, sebelum anaknya hilang, dia sendiri yang menghantar Nur Izuana ke Stesen LRT Setiawangsa untuk bertemu dengan rakannya pada jam 3 petang.

“Saya cuba menghubunginya, namun telefon bimbitnya dimatikan. Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa lagi kerana beranggapan bateri telefon bimbitnya mungkin tiada.

“Bagaimanapun, saya bertambah cemas apabila usaha untuk menghubunginya selepas waktu maghrib Rabu lalu hingga tengah malam masih gagal,” katanya yang selepas itu terus membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu.

Menurut Mohd Ridzuan, dia mengesyaki kehilangan anak sulung dari lima beradik itu ada kaitan dengan seorang lelaki berusia 20-an.

“Sebelum ini, hubungan anak dengan bakal suami dilihat baik saja sejak mereka bertunang Januari lalu. Namun pada Mei lalu, anak memaklumkan dia ‘tawar hati’ dengan tunangnya sebelum saya mendapat tahu dia berkawan rapat dengan lelaki lain.

“Kami ada membawa anak berjumpa dengan ustaz bagi mendapatkan rawatan perubatan secara Islam. Selepas rawatan itu, dia kelihatan pulih dan bersetuju untuk meneruskan perkahwinan dengan tunangnya.

“Besar harapan kami supaya Nur Izuana ditemui dalam keadaan selamat sebelum majlis perkahwinannya Ahad ini. Seboleh-bolehnya kami mahu majlis perkahwinan itu berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Namun sekiranya dia masih belum ditemui, kami terpaksa menangguhkan majlis itu,” katanya yang juga berharap orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu.

Sumber: Harian Metro