Gara-gara PRK Cameron Highlands, Bakal Pengantin Panik, Ini Respon SPR

Setiap pasangan bakal pengantin pastinya mahu memilih tarikh sesuai untuk meraikan hari paling bersejarah dalam hidup mereka.

Oleh itu, sebarang halangan yang mengganggu kelancaran pada majlis berbahagia itu sudah pastinya akan meresahkan pasangan yang bakal berkahwin.

Begitulah perasaan dialami seorang wanita apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya kecil Cameron Highlands bersamaan hari perkahwinannya pada 26 Januari tahun depan, lapor MalaysiaKini.

Menurut Syazleen Anisa Misria, dia telah menempah dewan di SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata di Cameron Highlands sejak enam bulan lepas.

“Segala tempahan booking dari A sampai Z semua sudah dibuat untuk majlis 26/1/2019.

“Disebabkan pengumuman anda semua yang last minute macam ni, habis saya dengan keluarga saya kelam kabut dan panik sekarang fikirkan masalah di mana saya nak buat majlis perkahwinan saya.

“Kad telah diedar, duit pun dah habis digunakan untuk tempahan,” luah bakal pengantin itu di laman Facebook SPR.

Menurut Syazleen, tidak mungkin baginya untuk menukar tarikh dan tempahan katering, khemah, jurugambar dan juruvideo.

“Kenapalah anda semua susahkan saya buat pengumuman last minute macam ni. Dan kenapalah korang pilih tarikh sama dengan majlis saya. Sedih saya.

“Doakan saya dapat selesaikan masalah saya ni disebabkan keputusan pengumuman tarikh anda semua,” katanya sedih.

Syazleen Anisa Misria menerusi Facebook SPR telah mengutarakan komen mengenai kebimbangannya yang dalam masa yang sama menurutnya melibatkan pelbagai kesulitan kerana jurugambar, jurusolek dan pelamin telah ditempah pada tarikh berkenaan.

Perkara berkenaan mendapat perhatian pengerusi SPR Azhar Azizan@Harun yang berjanji bakal menyelesaikan masalah yang dihadapi Syazleen.

SPR dikatakan telah berjaya menyelesaikan masalah berkenaan dengan mengubah tarikh perkahwinan Syazleen seminggu lebih awal.


Syazleen dalam komen terbaru mengucapkan terima kasih terhadap keprihatinan SPR menyelesaikan perkara tersebut.