“Tolonglah pantau anak” Lelaki OKU Pakai Kostum Donald Duck Dibuli, Adik Mangsa Tampil Luah Rasa Kecewa

Akhlak yang baik seorang anak itu haruslah dibentuk daripada usianya yang masih muda agar tidak melakukan perkara yang tidak diingingi kelak.

Sama seperti kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang adik meluahkan perasaan kecewanya apabila melihat abangnya yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) dibuli mencuri perhatian ramai.

Menerusi video yang tular, difahamkan abangnya yang mencari rezeki dengan memakai kostum karakter kartun animasi Donald Duck demi menghiburkan orang awam dibuli di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang.

Memetik laporan mStar, Nurul Shakirah Mohd Nordin, 30, tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan marah tatkala melihat abang sulung, Hamdan Mohd Nordin, 33, menjadi mangsa usikan kanak-kanak.

“Saya dapat tahu apabila ibu saudara tunjuk video tu. Saya sangat tak berpuas hati dengan apa terjadi sampai saya menangis.”

“Jarak umur kami dekat saja, kami membesar bersama. Sejak kecil sampai sekarang kami masih tinggal sebumbung. Apabila ada orang buli dia macam tu memang saya tak boleh terima.”


“Adik-beradik lain pun kalau dibuli memang saya pertahankan mereka apatah lagi abang saya tu OKU (orang kelainan upaya).”

“Dia baru buat kerja tu sejak tiga minggu lalu. Dia baik dengan adik-beradik tapi kalau ada yang mengganggu emosi, memang dia akan marah dan bertindak di luar kawalan. Sebab tu saya takut apabila dibuli dan diejek, bimbang dia akan mengamuk,” jelasnya.

Difahamkan, abangnya cuba untuk mencari ibu kepada kanak-kanak yang membulinya itu namun gagal setelah mereka beredar sejurus selepas itu.

“Mereka amanah saya selepas arwah mak meninggal dunia. Apa saya nak jawab nanti dekat ‘sana’ kalau tak laksanakan dengan sebaiknya. Walaupun masih ada ayah tapi saya yang bertanggung jawab ke atas mereka.”

“Menurut apa yang diberitahu abang, parents budak tu langsung tidak berjumpa dan meminta maaf dekat dia,” ujarnya penuh hampa dengan apa telah terjadi.

Kata Shakirah, Hamdan yang memiliki masalah dalam pembelajaran bagaimanapun tetap bersemangat untuk meneruskan pekerjaannya selepas insiden berkenaan.

Difahamkan, setelah tular video tersebut, timbul sebuah lagi video dimana seorang budak menangia gara-gara dimarahi oleh ibunya dan dipercayai budak tersebut merupakan pembuli kepada Hamdan.



“Apabila tengok video viral dibuli macam ni… dan terjadi pula pada ahli keluarga sendiri, memang cukup menyedihkan.”

“Saya harap ibu bapa di luar sana pantau anak masing-masing. Didiklah mereka dengan sebaiknya.”

“Didik mereka bahawa buli ni satu budaya yang tidak elok demi menjamin kesejahteraan masyarakat,” kata Shakirah.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen berang dengan sikap segelintir ibu bapa yang membiarkan anak mereka membuli orang lain.

“Rajin-rajin tangankan (pukul) anak supaya mereka tahu adab dan hormat orang. Bukan niat mendera tapi menegur dan mendidik.”

Bukan itu sahaja, netizen juga sempat berpesan kepada orang rami agar lebih memantau sikap anak-anak supaya tidak melahirkan generasi yang biadap dan tidak prihatin.

Video yang tular:

@ohmyganung Kes budak buli OKU cari rezeki dah selesai. Parent dia dah contact admin. Pesanan untuk semua, pantau anak anak. #telukcempedak ♬ original sound – ohmyganung