Tendang & Baling Batu Bata Sampai Kucing Menggelupur, Taktik Lelaki Ini ‘Pancing’ Kucing Dengan Makanan Buat Netizen Berang

Tidak kira lah agama apa sekalipun, tetapi semua menegaskan untuk berbuat baik bukan sahaja sesama manusia malahan haiwan juga.

Namun pada masa kini, ianya seolah-olah tidak dipraktikkan apabila ada yang tidak berhati perut menganiaya haiwan. Sering kali kita lihat di media sosial kucing ditendang, dipijak. Anjing dipukul dan sebagainya.

Terkadang hairan, manakah sifat keperimanusiaan seorang insan terhadap binatang yang tidak berdosa?

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana aksi seorang lelaki yang menganiaya seekor kucing di hadapan sebuah kedai di Semeling, Kedah berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV)

Menerusi video berkenaan, dapat kita lihat seorang lelaki yang memakai kereta Perodua Bezza berwarna putih datang mendekati seekor kucing.

Dia kemudian mengumpan seekor kucing dengan memberikan makanan di kaki lima kedai sebelum dengan sengaja membaling batu-bata ke arah haiwan tersebut.

Memetik laporan mStar, Kucing malang itu ditinggalkan dalam keadaan menggelupur ibarat ‘nyawa-nyawa ikan’ akibat kecederaan yang dialaminya.

Lelaki berbaju dan berseluar hitam itu yang masuk ke dalam kereta Bezza selepas melakukan serangan kemudian dilihat keluar semula dari kenderaannya dan berpatah balik untuk melihat kucing itu dalam keadaan kesakitan.

“Pada jam lebih kurang 1.10 pagi, seorang individu lelaki telah datang ke bahagian hadapan kedai MR DIY Express Semeling dipercayai ingin memberi makanan kepada seekor kucing lalu bertindak membaling batu ke arah kucing tersebut dan membiarkannya dalam kesakitan tanpa memberikan bantuan.”

“Di sini saya sertakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membuktikan kesahihan kenyataan yang saya sampaikan,” tulis pengguna Facebook bernama Hafiz Qayyum.

Dia turut memuat naik foto kucing tersebut yang mengalami kesan luka di bahagian kepala.

Menerusi ruangan komen, Hafiz Qayyum turut memuat naik satu lagi video di di luar premis sama di mana terdapat dua kucing yang diumpannya dengan makanan.

Seekor kucing berjaya mengikutnya ke tengah jalan, di belakang kereta Bezzanya sebelum ditendang haiwan itu dengan kejam.

Persatuan Haiwan Malaysia dalam satu kenyataan meminta saksi kejadian supaya tampil melaporkan jenayah keganasan haiwan ini.

“Kucing ini tidak menyusahkan sesiapa. Tidak ganggu sesiapa dan tidak pula membahayakan nyawa mana-mana pihak pun.

“Mengapa dia direjam dengan batu hingga cedera di kepala tanpa salah apa-apa? Kecederaan dialami kucing dilihat agak serius dan kucing jugak dibiarkan menggelinting kesakitan dalam waktu yang lama,” katanya.

“Mereka boleh dipenjara maksimum tiga tahun dan didenda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015,” tambahnya.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga netizen berang dengan sikap yang tidak berperikemanusiaan itu bahkan akui tiada satu pun agama dimuka bumi ini yang mengajar untuk menganiaya bianatang.

Video yang tular di laman TikTok:

Menerusi kemaskini terbaru, Hafiz Qayyum memaklumkan lelaki tersebut telah ditahan polis dan menemui bangkai kucing di rumah suspek.