Pengecualian Cukai Kenderaan Tamat Hujung Bulan Ini, Menteri Kewangan Umum Tempoh Pendaftaran Dilanjutkan Hingga 2023

Baru-baru ini Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telahpun mengumumkan Tarikh akhir bagi pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang termasuk MPV dan SUV pemasangan tempatan kekal akan berakhir pada 30 Jun ini

Bukan itu sahaja, 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import (CBU) juga turut akan berakhir pada tarikh yang sama, hujung bulan ini.

Beliau juga memaklumkan pengecualian cukai tersebut adalah bagi mengekal dan meningkatkan momentum permintaan serta jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Dalam masa yang sama, tempoh pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula akan dilanjutkan ke 31 Mac tahun depan.

“Sehubungan itu, bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun 2022 terus menikmati insentif pengeculian cukai jualan ini, sukacita dimaklumkan bahawa tempoh pendaftaran kenderaan tersebut di JPJ kini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.”

“Lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu penyelesaian titik tengah (midpoint solution) bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya.

Kini, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual setakat ini dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jalan berjumlah RM4.7 bilion.

Berkongsi lanjut, sektor automotif telah kembali beroperasi seperti sedia kala sejurus pembukaan semula sektor ekonomi pasca pandemik.

“Pada masa yang sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automatif.”

“Berikutan permasalahan ini, sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian ini masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli,” tambahnya.

Jadi, disebabkan perkara itu kerajaan bersetuju untuk melanjutkan lagi tarikh pendaftaran kenderaan sehingga ke Mac tahun depan.

Perkongsian yang tular: