“Mohon maaf atas kekeliruan,” Isu ‘Muslim Friendly’, Fipper Akhirnya Beri Penjelasan

Sejak akhir-akhir ini, nama selebriti Neelofa menjadi perhatian para netizen disebabkan terpalit beberap isu berkaitan SOP.

Terbaru, namanya sekali lagi hangat diperkatakan apabila bekerjasama dengan syarikat jenama selipar.

Menerusi satu kenyataan, Fipper yang menjalin kolaborasi bersama aplikasi The Noor akhirnya tampil memberikan kenyataan berhubung dakwaan isu penggunaan perkataan ‘muslim friendly’ untuk melariskan produk.

Di dalam satu muat naik di akaun Facebook dan Instagram rasminya, pihak Fipper telah memuat naik penjelasan dan permohonan maaf secara terbuka mengenai perkara tersebut.

“Pihak Fipper ingin memberikan penjelasan berkenaan isu ‘muslim friendly’ yang tular di media sosial ketika ini. Produk Slip On, Fipper x TheNoor sesuai untuk kegunaan muslimah yang memakai stoking.

“Produk kami sebelum ini kurang bersesuaian dengan imej muslimah yang berstoking seperti yang dinyatakan di dalam press release sebelum ini.

“Pihak Fipper ingin memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku,” jelasnya.

Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila selipar terbaru keluaran Fipper yang berkolaborasi bersama aplikasi The Noor milik Neelofa dikatakan menggunakan elemen agama untuk melariskan produk berkenaan.

Disebabkan perkara itu juga, Neelofa turut mendapat kecaman hebat netizen sehingga ada yang menggelarkannya sebagai penunggang agama.

Terdahulu, Neelofa memohon dirinya diberikan ruang berhubung isu melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dan dakwaan berbulan madu di Langkawi.

“Berhubung isu tersebut saya mohon diberikan ruang untuk menyelesaikannya secara profesional dan tenang tanpa tekanan daripada mana-mana pihak yang berkaitan.

“Itu saja permintaan saya…Saya tidak mahu ulas panjang-panjang kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan,” katanya.

Neelofa ditemui ketika Majlis Pelancaran Fipper X Neelofa di Hotel Marriot, Putrajaya pada petang Isnin.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai tindakan akan dikenakan sekiranya didapati bersalah melanggar SOP, Neelofa enggan mengulas lanjut.

“Saya rasa tidak perlu untuk mengulas tentang perkata tersebut. Ada tindakan atau tidak biar saya settle sendiri.

“Jika ada perkembangan terkini saya akan maklumkan dan kita tengok nanti apa yang perlu dilakukan,” katanya.