Gambar seorang ibu 10 anak bersama barang-barang miliknya berselerakan di luar sebuah rumah di Bukit Mertajam mengejutkan orang ramai.

Ibu itu yang kelihatan binggung dan sebak dengan keadaan yang melanda keluarganya itu dilihat duduk bersama longgokan barangan di luar rumah sewanya.

Ibu bersama 10 anaknya diminta keluar dari rumah sewa

Menerusi gambar tersebut kelihatan peti ais, tilam dan perabot setelah gambarnya dirakam serta dikongsikan di media sosial oleh jurugambar bebas, Keow Wee Loong.


Memetik laporan Free Malaysia Today, Rosliza dan anak-anaknya diminta keluar dari rumah sewa itu kerana pemilik asal telah menjualnya kepada pemilik baru.

Rosliza Hassan, seorang ibu berusia 37 tahun dengan 10 anak, dilihat meratap di luar rumah satu tingkat yang pernah didiaminya sebelum diminta keluar oleh tuan rumah.

Anak bongsu berusia 3 tahun tenung peti sejuk berisi sisa makanan

Sekeping lagi gambar yang menunjukkan anak bongsunya berusia tiga tahun merenung ke dalam peti sejuk lama berisi sisa makanan dari dua minggu lalu meruntun hati ramai orang.

Difahamkan, Keow, 33, terserempak dengan Rosliza Hassan, 37, pada jam 7 pagi ketika dia dalam perjalanan ke kedai makan.

Peti aisnya hanya ada makanan sudah tamat tarikh luput

“Saya tergerak nak membantu lebih-lebih lagi bila ternampak anaknya yang masih kecil.”

“Apa yang lebih menyedihkan apabila melihat peti aisnya yang hanya ada makanan yang sudah tamat tarikh luput.”

Makan nasi goreng kicap setiap hari

Apa yang meruntum jiwa adalah wanita itu bersama empat orang anak lelaki dan enam anak perempuannya, berusia antara tiga dan 21 tahun, terpaksa hidup dengan hanya nasi yang digoreng dengan kicap setiap hari.

Sekiranya ada seulas bawang, ia sudah dikira mewah. Selalunya, itulah makanan mereka pada hari itu.

Suami selalu tiada di rumah

Bercakap dengan FMT melalui telefon milik orang lain, Rosliza berkata, penderitaannya bermula pada 2009.

Menurut Rosliza, dia memperoleh RM700 sebulan sebagai pembantu restoran. Suaminya berusia 40 tahun yang dinikahinya ketika berusia 16 tahun, selalu tiada di rumah.

Suami datang dan pergi sesuka hati

Sejak 12 tahun lalu, beliau membayar RM500 untuk menyewa rumah satu tingkat di Taman Machang Bubok.

Kata beliau, suaminya yang tiada pekerjaan tetap “datang dan pergi” sesuka hati.

Keadaan hidup Rosliza sekeluarga bertambah buruk apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa tahun lalu kerana banyak kedai terpaksa ditutup.

Makan nasi goreng kosong dengan garam pada Ramadhan lalu

“Kami tiada wang. Kami hanya makan ‘nasi goreng kosong’ dengan garam pada bulan Ramadan tahun lalu.”

“Sehingga sekarang, tidak banyak yang berubah. Kadang-kadang, saya tambah bawang, bila ada,” kata beliau teresak-esak.

Ujar anak perempuan Rosliza yang berusia 16 tahun terpaksa berhenti sekolah ketika di Tingkatan Dua untuk menjaga dua adiknya yang berusia tiga dan lima tahun.

Remaja itu juga membantu di restoran untuk mendapatkan wang.

Rezeki saya adalah anak-anak 10 orang

Anak sulung Rosliza, yang berusia 21 tahun dan sudah berkahwin, bekerja mengambil upah dan perlu menanggung keluarganya.

Rosliza menerima RM500 daripada badan zakat, tetapi permohonannya untuk mendapatkan bantuan kebajikan ditolak atas alasan zakat yang diterima sudah mencukupi.

“Lain orang lain rezekinya. Ada dalam bentuk kekayaan, kemasyhuran dan banyak lagi. Rezeki saya adalah anak-anak 10 orang,” kata beliau.

Kami tiada pilihan selain berkhemah di luar

Pada petang Jumaat lepas tuan rumah meminta Rosliza keluar kerana rumah itu sudah dijual. Rosliza juga mempunyai tunggakan sewa.

“(Tuan rumah) meminta kami keluar rumah menjelang pukul 7 pagi. Kami tiada pilihan selain berkhemah di luar,” kata anak perempuan Rosliza yang berusia 16 tahun.

Nasib keluarga ini disedari seorang jurugambar prihatin

Nasib keluarga ini mula disedari seorang jurugambar prihatin, Keow Wee Loong yang sedang menikmati sarapan di sebuah kedai makan berhampiran rumah Rosliza.

Selepas bercakap dengannya, Keow memutuskan untuk memberitahu Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Sim tiba dengan segera untuk membantu keluarga ini dengan membawa mereka ke pasar raya berdekatan bagi mendapatkan barang dapur, peralatan elektrik dan keperluan lain.

Mereka sekeluarga ditempatkan di rumah lengkap dengan keperluan

Selain itu, beliau membelikan mereka pakaian baharu untuk Hari Raya, menurut catatan beliau di Facebook.

Mereka kemudian ditempatkan di sebuah rumah yang dilengkapi dengan peti sejuk baharu serta barang keperluan lain.

Sewa rumah ini ditanggung sepenuhnya oleh Ahli Parlimen itu sehingga Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang mendapatkan mereka sebuah unit PPR hari ini.

Lebih RM10,000 dibelanjakan untuk keperluan keluarga ini

Pembantu Sim berkata, lebih RM10,000 dibelanjakan untuk melengkapkan keperluan keluarga ini, termasuklah deposit sewa rumah baharu mereka.

Sim tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen.

Sim juga memberi komputer riba kepada anak-anak Rosliza yang berusia 7,10, 12, dan 14 tahun, sebagai sebahagian daripada perkhidmatannya untuk memberi akses pembelajaran dalam talian kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Setiap hari saya berdoa agar kehidupan saya bertambah baik

Rosliza berterima kasih kepada Sim kerana membantunya, dan wanita itu berharap suatu hari nanti, beliau dapat membuka gerai sendiri untuk menjual mi goreng, pasembor dan mi kuah.

“Ini adalah rahmat Allah buat saya. Setiap hari saya berdoa agar kehidupan saya menjadi lebih baik.”

“Ramadan kali ini akan cukup istimewa buat kami, saya sangat bersyukur,” kata beliau.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berharap lebih ramai individu tampil memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

"If you cannot do great things, do small things in a great way." Napoleon Hill.