Seharian Hilang Dijumpai Pengsan Dalam Kereta, Adik Jaga Kakak Di Hospital Jadi Perhatian Ramai

Bila seorang ahli keluarga jatuh sakit, pastinya ahli keluarga yang lain risau dan akan membuat apa yang termampu untuk melihat mereka kembali sembuh.

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang pemuda yang dikenali sebagai Uyank Ibrahim, 21, yang menjaga kakak sulungnya Suriani Ibrahim, 40, selama dua minggu di hospital.

Memetik laporan mStar, difahamkan kakaknya itu mengalami lumpuh separuh badan sehingga terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku dalam kepala, baru-baru ini.

“Kakak memang ada darah tinggi. Dalam dua minggu lepas, kakak hilang selama sehari. Rupa-rupanya dia pengsan dalam kereta ketika keluar ke bandar. Kami dapat tahu pun selepas dimaklumkan oleh polis.”

“Kakak koma dalam seminggu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Kemudian kakak juga menjalani pembedahan darah beku dalam kepala.”

“Alhamdulillah, sekarang kakak dah sedar tapi pertuturannya tak jelas. Dia strok separuh badan belah kiri,” ujarnya yang senang disapa Uyank.

Menurut anak keenam daripada tujuh beradik itu, kakaknya dibenarkan discaj dan pulang ke rumah pada Ahad lalu selepas dua minggu menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.

“Saya yang jaga kakak di hospital kerana orang lain ada komitmen. Anak-anak kakak ada empat orang, semua masih kecil. Yang sulung pun baru tingkatan satu. Ini kali pertama saya jaga orang sakit di hospital.”

“Punyalah tak tahu, sampai saya terpaksa cari di Google mengenai cara-cara jaga orang sakit. Ini mungkin pengalaman yang menginsafkan.”

“Saya tidur-tidur ayam saja sepanjang di hospital. Setiap empat jam, saya kena bancuh susu dan beri susu menerusi tiub untuk kakak.”


“Mental kena kuat, saya memang rasa sedih. Kalau nak menangis depan dia pun saya tahan. Saya sebak memikirkan anak-anak kakak yang masih kecil. Tapi Alhamdulillah, sekarang dia dah balik rumah, ramai keluarga boleh tolong jaga,” ujar Uyank lagi.

Video yang tular di laman TikTok:

@leonxibra tiga hari tak mandi kat hospital, apa pun nak jaga orang sakit kena banyak sabar dan ikhlas #fyp ♬ original sound – _◽️◾️

“Saya sekadar suka-suka kongsi video di TikTok. Tak sangka ramai yang beri respon. Ramai juga yang kongsi pengalaman sama macam saya. Paling terharu, ramai yang mendoakan kakak,” ujar Uyank lagi.

Sekadar berkongsi tentang dirinya, Uyank yang menetap di Pasir Puteh, Kelantan berkata, dia bekerja dengan keluarganya, menguruskan sebuah pusat rekreasi di negeri itu.

Bukan itu sahaja, Uyank merupakan warganegara Thailand, namun keluarganya sudah berkelana ke Malaysia sejak lebih 30 tahun lalu.

Ketika artikel ini ditulis, video tersebut telah meraih 84.8K tontonan, 9545 tanda suka, 472 komen dan 215 perkongsian di applikasi TikTok.