‘Scam’ Bakal Pengantin Hampir RM53k, ‘Wedding Planner’ Dicekup Polis

Isu scam semangnya boleh terjadi dalam pelbagai bentuk, ada yang ditipu melalui atas talian, ada yang membeli barangan original dengan harga tinggi namun penjual memberikan barangan yang ‘cikai’ bahkan ada juga yang terkena pukau.

Senang kata, ianya memang boleh terjadi dengan pelbagai bentuk dan sukar untuk dijangka.

Baru-baru ini tular dimana pengantin kelam kabut apabila makanan catering yang ditempah tidak sampai di hari majlis malah mereka terpaksa berhempas pulas menyediakan makanan lain pada hari persandingan.

Pun begitu, laporan polis telah dibuat dan pihak berkuasa memandang serius tentang kejadian tersebut memandangkan ianya bukanlah pertama kali direkodkan.

Suspek yang merupakan pengusaha katering dinamakan ‘Kekasih Hati’ itu bukan sahaja menghantar jumlah makanan dalam kuantiti yang kecil dan sudah basi malah ada yang langsung tidak menerima tempahan yang dibuat.

Tidak cukup dengan itu, dia menawarkan harga serendah Rm8 sekepala di media sosial.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima 10 laporan polis membabitkan pengusaha katering yang sama dengan kerugian RM53,380, setakat Isnin lalu.

Ekoran isu tersebut, wanita berusia 50-an itu ditahan di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan yang berlaku di Kulai Johor Baharu.

“Mangsa hanya menyedari diperdaya apabila makanan yang ditempah tidak dihantar atau kurang daripada sepatutnya selain menerima makanan yang sudah basi. Ia menimbulkan kesulitan selain menjejaskan keharmonian antara pengendali majlis dan jemputan termasuk membabitkan golongan kenamaan apabila makanan tidak dapat disediakan.”

“Mengikut laporan yang diterima setakat ini, semua transaksi bayaran dilakukan dalam talian bagi kes berlaku antara Mei hingga awal Jun melibatkan kerugian 53,380,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Rendah Polis Kontinjen Johor sesi 2/2022 di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.”

Lebih teruk, wanita tersebut menukar nama akaun Facebooknya daripada Kekasih Hati Katering kepada Emir Mimi bagi menutup segala helahnya namun trik tersebut tidak berjaya.

“Kami yakin akan menerima beberapa laporan polis lagi dan menggesa mangsa yang lain untuk tampil membuat laporan dengan segera.”

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan pakej perkahwinan yang murah dan tidak masuk akal serta fikir dua kali sebelum membuat pembayaran,” katanya.

Melaporkan lanjut, suspek wanita itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.