“Saya takkan berhenti sayang kucing” Bernanah, Darah & Berdenyut, Wanita Tak Sangka Kena Bedah Gara-Gara Gigitan Si Bulus

Fitrah menjadi pencinta haiwan pastinya kita akan risau melihat kucing yang terbiar, sebagai insan yang juga mempunyai hati perut, sudah tentu kita membantu apa yang termampu.

Namun siapa sangka niat murni wanita ini bertukar tragedi apabila wanita ini terpaksa menjalani pembedahan kecil untuk menghalang jangkitan kuman gara-gara gigitan si bulus.

“Drama menyelamatkan kucing terbiar di tengah-tengah lebuh raya, yang pengakhirannya di dewan bedah,” tulisnya dalam satu perkongsian di media sosial.

Memetik laporan mStar, dia yang lebih dikenali sebagai Zawani Zakaria memaklumkan kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang selepas selesai menyertai misi bantuan banjir di perkampungan Orang Asli di Sepang, pada 30 Disember lalu.

“Saya menyertai misi bantuan itu sebagai wakil daripada Thermomix. Di sana, saya memasak untuk sukarelawan dan mangsa-mangsa banjir. Sekitar pukul 6 petang masa dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, tiba-tiba ada dua kenderaan di depan saya brek kecemasan.”

“Saya pun automatik brek dan lori di sebelah saya tunjuk ke arah kanan. Barulah saya nampak seekor kucing yang dekat lorong kanan dan nak melompat ke lorong bertentangan.”

“Masa itu saya cuma fikir nak cepat-cepat selamatkan kucing tu sebab bimbang ia dilanggar kenderaan lain. Spontan saya keluar, tangkap ia dari belakang.”

“Tapi mungkin sebab kucing tu terkejut dan sedang dalam ‘full force’ nak melompat, terus digigitnya tangan kanan saya. Memang sakit sangat tapi saya tetap tak lepaskannya. Saya cepat-cepat bawa masuk dalam kereta,” cerita wanita berusia 37 tahun ini.

Bercerita lanjut, pada ketika itu darah sudah mengalir dengan banyak gara-gara gigitan kucing tersebut namun masih belum terasa sakit.

“Dalam kereta, memang kucing tu agresif sangat sebab nak keluar. Saya hanya mampu berdoa ia tak datang dekat saya dan gigit lagi sekali. Saya akhirnya berhenti di sebuah masjid yang terletak 10 minit dari lokasi tadi.”

“Masa saya keluar, belum sempat saya tutup pintu semula, kucing tu melompat keluar dan lari. Saya terus cuci luka betul-betul dan teruskan pemanduan ke Shah Alam sebab masa tu belum rasa sakit lagi.”

“Tapi tak lama selepas itu, bahagian didigit tu membengkak dan merah. Saya terus buat keputusan untuk pergi ke klinik. Benda pertama doktor buat adalah beri saya suntikan Tetanus.”

“Kemudian dia cuci luka, beri ubat antibiotoik dan tahan sakit,” ujarnya yang juga seorang ahli perniagaan.

“Esok pagi, kesan gigitan itu bernanah. Saya pergi ke klinik lagi sekali dan doktor cuci. Namun masih sama, malam tu saya tak boleh tidur juga sebab sakit.”

“Esoknya, bapa saya hantar pergi hospital dan doktor terpaksa tahan di wad kerana jangkitan kuman agak teruk. Bila picit kawasan di sekitar luka, dah banyak nanah.”

“Apabila keadaan tetap tak ada perubahan, hari ketiga saya di hospital, doktor kata saya perlu jalani minor surgery untuk buang nanah dan sel tisu yang rosak.

“Saya bersyukur kerana bukan penghidap kencing manis. Kalau tidak, doktor kata terpaksa potong tangan sebab untuk pesakit kencing manis, bisa gigitan haiwan sangat berbahaya,” katanya sambil menambah, doktor mengesahkan kecederaannya diklasifikasikan sebagai Selulitis.

Hampir dua minggu selepas rawatan, Zawani berkata keadaan tangannya sudah beransur pulih.

“Saya tak sangka pun perkongsian di TikTok jadi viral. Saya saja nak imbas momen tak dapat dilupakan pada penghujung 2021 dan hari pertama tahun baru 2022, saya masuk hospital.”

Video yang tular di laman TikTok:

@zawani.zakaria Drama rescue stray cat in a middle of the highway, yang pengakhiran nya di ops theatre #hello2022 #misibantuanbanjir #fyp ♬ BORN FOR THIS – Foxxi

“Macam-macam komen netizen, ada tanya kenapa tak basuh cepat, kenapa tak pakai sarung tangan dan macam-macam. Tapi dalam situasi saya, ia sangat spontan dan berlaku di tengah-tengah lebuh raya. Saya kurang bernasib baik hari itu. Tapi mungkin mereka tak tahu cerita sebenar.”

“Kejadian ni buatkan saya sedikit fobia namun ia takkan buat saya berhenti untuk sayangkan kucing. Saya memang pencinta kucing. Di rumah saya ada lapan ekor kucing yang dipelihara macam anak sendiri. Sama juga macam kucing-kucing lain.”

“Apa pun, saya harap perkongsian pengalaman saya ini boleh sebarkan kesedaran kepada orang lain. Jangan sesekali ambil remeh kalau digigit haiwan terutama haiwan terbiar. Dapatkan rawatan segera,” katanya lagi.

“Saya tak sangka pun perkongsian di TikTok jadi viral. Saya saja nak imbas momen tak dapat dilupakan pada penghujung 2021 dan hari pertama tahun baru 2022, saya masuk hospital.

Ketika artikel ini ditulis, video tersebut telah meraih 399.4K tontonan, 24.7K tanda suka, 452 komen dan 381 perkongsian di applikasi TikTok.