“Pembeli Topup Prepaid RM10 Akan Diberikan Kredit RM10 Tanpa Potongan” – Menteri Kewangan

Sebelum ini heboh diperkatakan bahawa setiap topup kredit prepaid akan dikenakan cukai SST 6%. Kenyataan ini telah mendatangkan reaksi dan respons yang negatif daripada pengguna kerana tidak berpuas hati dengan penolakan nilai kredit itu.

Terbaru, Menteri Kewangan telah menjelaskan bahawa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan bagi pembelian prabayar telco tidak sepatutnya ditanggung oleh pengguna.

Lim Guan Eng ketika ditemui pemberita selepas Sesi Taklimat SST bersama Menteri Kewangan di Perai berkata, pengguna terpaksa menanggung cukai berkenaan apabila kredit daripada pembelian tambah nilai telah dipotong berikutan masalah teknikal yang dihadapi.

Foto: Berita Harian

“Saya akan mengeluarkan arahan bagi memastikan pembeli prabayar RM10 akan diberikan kredit sebanyak RM10 juga tanpa potongan.

“Pengurangan kredit berkenaan pula akan dikembalikan dalam bentuk rebat,” katanya.

Ramai pengguna yang menyuarakan ketidakpuasan hati apabila hanya diberikan kredit dengan potongan nilai 6 peratus selepas menambah nilai prabayar telco. Contohnya pengguna yang menambah nilai prepaid sebanyak RM10 hanya menerima kredit bernilai RM9.43 sahaja dimana RM0.57 ditolak sebagai cukai SST.

Pengumuman terbaru daripada Menteri Kewangan ini diharapkan dapat meredakan kebimbangan para pengguna sekaligus dapat memastikan semua syarikat telco mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

[su_note note_color=”#d8d8c3″]Sumber Rujukan: Kosmo Online[/su_note]