Pandu Tesla Secara Auto Pilot Di Malaysia, Polis Buka Siasat Pasangan Singapura

Oleh kerana wabak pandemik yang melanda dunia, pintu sempadan Singapura dan Malaysia terpaksa ditutup ekoran ingin membendung penularan wabak dan sekaligus menyebabkan ramai rakyat Malaysia terkandas di Singapura.

Pun begitu, khabar baik telah diumumkan dimana pintu sempadan dibuka pada 1 April dan membolehkan semua yang berada di Singapura pulang ke tanah air atau pun bercuti di Malaysia.

Bagaimanapun, baru-baru ini tular tentang sebuah video dimana memaparkan pasangan dari Singapura yang menggunakan mod pemanduan sendiri (auto-pilot) ketika menaiki sebuah kereta Tesla Model 3 di Pulau Pinang meraih perhatian ramai.

“Autopilot is so shiok here! Tesla owners, start planning your journey,” tulis pengendali TikTok itu dalam salah satu video yang dikongsi.

Menurut portal Guang Ming Daily, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas siasatan berhubung video tular itu.

Ketua Penolong Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan, Dr Bakri Zainal Abidin berkata, penggunaan fungsi pemanduan automatik boleh menyebabkan pemandu lalai dan tidak peka terhadap keadaan jalan raya.

“Dari perspektif PDRM, Malaysia pada masa ini tidak mempunyai peraturan atau undang-undang terhadap sistem pemanduan automatik, tetapi sistem ini tidak membantu pemandu menumpukan perhatian sepenuhnya pada pemanduan. Sistem tidak dapat memastikan jika ada pemandu yang duduk di dalam kenderaan.”

“Ini mungkin menyebabkan pemandu kurang memberi perhatian kepada lalu lintas di sekeliling mereka, sebaliknya menghabiskan masa mereka dengan perkara lain yang mengganggu, seperti menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” kata Bakri.

Memetik laporan Paultan.Org pula, Bakri turut mengingatkan pemandu bahawa Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya 1959 menetapkan sikap yang baik, berhati-hati dan menumpukan perhatian semasa memandu.

Beliau berkata walaupun semua kenderaan pada masa hadapan dilengkapi dengan fungsi pemanduan automatik, pemandu perlu sentiasa memberi perhatian dan peka dengan keadaan jalan raya, agar dapat mengambil alih tepat pada masanya dan mengelakkan kemalangan sekiranya sistem ini gagal.

“Apabila memandu, tumpuan mesti diberikan kepada jalan raya, kerana aliran trafik dan sikap pengguna jalan raya bermakna pengendali manusia masih diperlukan untuk mengendalikan dan memandu kenderaan itu,” tambahnya.

Secara ringkas dan umumnya, kes pasangan warga Singapura itu jelas dilarang di Malaysia dan polis akan menggunakan Akta Pengangkutan Darat 1987 untuk melancarkan siasatan.

“Ciri auto-pilot dalam kenderaan Tesla membantu pemandu, tetapi ia tidak bermakna pemandu boleh melepaskan tangan sepenuhnya dari stereng dan tersilap berfikir bahawa sistem itu boleh mengawal kereta secara automatik dan selamat,” kata Bakri.

Video yang tular di laman TikTok:

@sgpikarchu Crossed the custom within 45 minutes at midnight. Drove past KL, continuing up north! Go Tesla 🤓 #SgTeslaGoesMsia #EVboleh ♬ Vacation – Dirty Heads