MySejahtera Nafi Beri Bantuan RM 500, Diminta Masyarakat Supaya Lebih Berwaspada

Pada zaman serba canggih dan moden ini, terdapat pelbagai kemudahan yang diciptakan untuk kemudahan kita sebagai pengguna. Namun begitu, isu scam atau penipuan siber ini sering diperkatakan oleh warga netizen lebih-lebih lagi pada zaman kini.

Memetik laporan Vocket, MySejahtera nafi telah menghantar mesej bantuan kewangan kepada orang awam.

Ekoran kejadian tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multmedia Malaysia (SKMM) menasihati dan meminta orang ramai agar lebih berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan mesej (SMS) daripada GOV menggunakan nama MySejahtera.

Mesej yang dihantar itu menyatakan bahawa bantuan khas yang diberikan akan dikreditkan ke dalam akaun Touch n Go (TnG) eWallet.

SKMM turut memaklumkan bahawa ID penghantar GOV itu telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab demi mendapatkan wang daripada individu yang teraniaya.

Seperti yang kita tahu, ID pengguna GOV ini kebiasaannya digunakan dan dikhususkan untuk memberikan maklumat mengenai pesanan khidmat awam berkaitan inisiatif kerajaan.

Misalnya, terdapat pengguna telefon bimbit menyatakan bahawa mereka menerima mesej daripada MySejahtera bahawa mereka telah dikreditkan wang sebanyak RM 500 ke dalam akaun TnG eWallet mereka.

Susulan isu tersebut, pihak MySejahtera telah mengeluarkan satu kenyataan di laman Twitter bahawa mereka tidak menawarkan sebarang bantuan kewangan yang digembar-gemburkan.

“Makluman yang sahih berkaitan MySejahtera boleh didapati melalui media sosial MySejahtera.

“Waspada dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih.

“MySejahtera tidak menghantar sebarang pesanan berkaitan pemberian bantuan kewangan kepada orang ramai.

“Sila lawati media sosial MySejahtera untuk pengumuman rasmi dan makluman yang sahih,” tulis admin Twitter MySejahtera berhubung isu tipu siber ini.

MySejahtera telah mengklasifikasikan bahawa mesej yang diterima merupakan salah satu taktik operandi penipu siber yang ingin mengambil kesempatan terhadap orang awam.

Oleh hal demikian, kita hendaklah lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan apa yang ditawarkan di atas talian.

Kiota sebagai pengguna yang bijak haruslah memastikan terlebih dahulu kesahihan sesuatu maklumat sebelum melakukan sebarang tindakan.

Hal ini dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini boleh berlaku kepada kita.