Kaki Wanita Digigit Kucing, Bengkak & Menjadi Kehitaman Jejas Mata Pencarian Keluarga

Seperti yang kita tahu, kucing merupakan salah satu haiwan yang terkenal dijadikan sebagai haiwan peliharaan kerana sifatnya yang jinak dan manja. Walau bagaimanapun, haiwan kecil ini juga tanpa disangka-sangka boleh ‘datang anginnya’.

Terbaru, seorang wanita yang bernama Roslaili Zakaria, 51, bengkak kaki kanannya akibat digigit oleh seekor kucing.

Berdasarkan laporan Harian Metro, bengkak kaki mangsa semakin surut tetapi apa yang membimbangkan Puan Roslaili ialah kakinya kini bertukar menjadi kehitaman.

Menerusi kenyataan mangsa yang merupakan seorang pencari tiram, dia mengatakan bahawa masalah itu bermula dua minggu lalu apabila dia terpijak kucing yang sedang tidur lalu kucing tersebut terus menggigit mangsa kerana terkejut.

Ekoran insiden tersebut, kakinya semakin membengkak hari demi hari sehingga kulitnya menggelembung dan berasa sakit.

Difahamkan, kaki mangsa bertukar menjadi kehitaman apabila dia menggagahkan dirinya untuk berjalan juga dalam keadaan terhincut-hincut kerana kakinya berada dalam kesakitan.

“Selepas kejadian itu, saya segera ke klinik swasta untuk menerima rawatan sebelum diberi suntikan kerana difahamkan gigitan kucing agak berbisa.

“Bagaimanapun, keadaan kaki kanan terus membengkak dan menggelembung seakan melecur, malah kesakitannya juga sangat luar biasa,” jelas mangsa.

Roslaili mengeluarkan kenyataan tersebut sewaktu didatangi oleh Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed yang turut menyampaikan makanan asas dan sumbangan wang zakat di rumahnya di Kampung Lapang Pari.

Menurut mangsa, anaknya yang merasa bimbang akan keadaannya itu memaksa mangsa agar pergi ke klinik sekali lagi untuk menjalani pemeriksaan semula.

Walau bagaimanapun, doktor hanya membekalkan mangsa ubat sahaja.

Doktor tersebut memaklumkan bahawa keadaan kaki mangsa itu merupakan proses penyembuhan, malah pemeriksaan lanjut juga telah mendapati tiada jangkitan kuman dikesan dalam darah mangsa.

“Saya tetap rasa bimbang kerana menghidap penyakit kencing manis sejak lima tahun lalu. Keadaan kaki kini sudah surut bengkaknya, cuma berubah menjadi kehitaman dan mengandungi nanah.

“Sebenarnya, saya langsung tidak menyangka hanya dengan sedikit gigitan sahaja mampu menyebabkan kecederaan teruk,” ulas lanjut Puan Roslaili.

Disebabkan kejadian yang menimpa mangsa, mata pencarian mereka sekeluarga turut terjejas semasa proses penyembuhannya kerana hanya mampu bergantung kepada suaminya, Mohd Zin Abdullah, 57, yang bekerja kampung.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Puan Roslaili sekeluarga boleh hubunginya di talian 013-9755243.

Admin mendoakan agar keadaan Puan Roslaili akan cepat sembuh seperti sedia kala, dan dipermudahkan urusan Puan Roslaili sekeluarga.