Isu Pembesar Suara, Masjid & Surau Dilarang Menggunakannya Melainkan Untuk Azan Sahaja

Terdahulu, tular tentang seorang lelaki yang mengamuk dan merampas mikrofon daripada seorang penceramah di sebuah surau. Kes tersebut dipercayai berpunca akibat lelaki tersebut berang dengan bunyi pembesar suara yang terlalu kuat.

Berikutan kes tersebut, baru-baru ini muncul semula isu mengenai penggunaan pembesar suara di luar surau atau masjid bagi tujuan ceramah dan kuliah.

Difahamkan, alat pembesar suara bahagian luar tidak dibenarkan untuk digunakan bagi tujuan tersebut sejak tahun 2017 lagi.

Berdasarkan arahan yang telah dikeluarkan pada 23 Oktober 2017, kegunaan pembesar suara ini telah dihadkan kepada laungan azan dan bacaan ayat Al-Quran dalam tempoh singkat sebelum masuk waktu solat sahaja.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad pernah menyatakan bahawa larangan itu selaras dengan titah Sultan Selangor, iaitu Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 16 Oktober 2017.

“Sultan Selangor dengan jelas menitahkan bahawa penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah hendaklah dihadkan di dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja.

“Pembesar suara luar hanya boleh digunakan bagi tujuan azan dan bacaan ayat-ayat Al-Quran bagi tempoh pendek sebelum azan dilaungkan.” jelas Mohd. Shahzihan.

Menurut Shahzihan lagi, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj membuat keputusan tersebut agar kemuliaan Islam, cara hidup Islam yang sempurna, dan sentiasa mementingkan kesejahteraan masyarakat serta bertolak ansur akan dapat dirasai semua pihak, justeru boleh menjadi teladan yang baik kepada orang awam.

Susulan kes lelaki mengamuk di sebuah surau semalam, siasatan lanjut berhubung telah dibuat mengenai pembukaan pembesar suara luar semasa program kuliah subuh sehingga mengakibatkan lelaki tersebut mengamuk dan bertindak merampas mikrofon penceramah jemputan di surau tersebut.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No.9 Tahun 1995 kerana disyaki berlakunya satu perbuatan melanggar titah Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam di negeri Selangor.

Oleh hal demikian, hal ini membuktikan bahawa pentingnya kita untuk bertolak ansur dalam kehidupan sesama kita agar dapat menjamin kehidupan bermasyarakat antara satu sama lain.