394 Kawasan Alami Gangguan Bekalan Air, Ini Penjelasan Jabatan Air Selangor

Gangguan bekalan air atau krisis air menunjukkan sesuatu kawasan itu mengalami masalah pembekalan air yang bersih. Ekoran masalah gangguan ini, pelbagai masalah akan timbul terhadap masyarakat pengguna di sesuatu kawasan tersebut.

Berdasarkan laporan Malaysia Gazette, terdapat 394 kawasan di Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat alami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak 10 pagi tadi.

Difahamkan, 394 kawasan itu melibatkan kawasan di Petaling (3 kawasan), Kuala Lumpur (172 kawasan) dan Hulu Langat (222 kawasan) mengalami gangguan bekalan air.

Menerusi laporan Siakap Keli, Jabatan Air Selangor memaklumkan bahawa tugas loji rawatan air Langat 2 dihentikan sementara bermula 4:30 pagi ini susulan pencemaran bahan kimia yang berlaku di Sungai Semantan, Pahang.

Menurut hantaran yang dibuat Jabatan Air Selangor di laman Twitter, pencemaran bahan kimia itu dipercayai berpunca daripada kes kemalangan di Lebuhraya Karak-Bentong KM 75.9 menuju Kuala Lumpur semalam.

Susulan pemberhentian tugas tersebut, sejumlah 394 kawasan mengalami ganguan bekalan air tidak berjadual.

Bekalan air terawat dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan.

“Makluman henti tugas sementara LRA Langat 2 pada jam 4:30 pagi, 11 Ogos 2022 berikutan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Karak, Pahang akibat daripada kes kemalangan di Lebuhraya Karak-Bentong KM75.9 menuju Kuala Lumpur semalam.#AirSelangor #0811Langat2” tulis Air Selangor dalam ciapan Twitternya.

Bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.

Selain itu, Air Selangor juga sedang mengambil segala usaha bagi mengurangkan kesan gangguan kepada para pengguna yang terjejas.

Sekadar info, gangguan bekalan air di Malaysia terdapat dua jenis iaitu gangguan bekalan air berjadual dan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Gangguan bekalan air berjadual ialah gangguan air yang berlaku akibat kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian peralatan secara berkala di loji rawatan air atau sistem agihan oleh operatior bekalan air.

Kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian ini penting bagi memastikan sistem dan peralatan dalam keadaan baik untuk membekalkan air yang bersih kepada pengguna.

Manakala, gangguan bekalan air tidak berjadual pula merupakan gangguan bekalan air yang berlaku di luar kawalan operator air, seperti yang dinyatakan di atas.

Misalnya, seperti pencemaran air disebabkan pembuangan sisa toksik ke sungai, kejadian paip pecah atau kerosakan peralatan.

Apabila perkara ini berlaku, operator air terpaksa menutup operasi loji rawatan air atau memutuskan bekalan air.