Lelaki Mengamuk Rampas Mikrofon Penceramah, Dakwa Kuliah Subuh Terlalu Bising

Seperti yang kita tahu, kuliah Subuh ialah tazkirah yang diadakan di sesebuah surau atau masjid. Namun begitu, masih ada yang tidak faham untuk menghormati kuliah berkenaan dan lebih memilih untuk mementingkan diri sendiri.

Memetik laporan Berita Harian, seorang lelaki telah ditahan selepas didakwa mengamuk dan mendakwa kuliah subuh yang dijalankan terlalu bising.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Ampang Campuran, Ampang di Kuala Lumpur, kelmarin.

Kronologi kejadian berlaku kira-kira pada jam 7 pagi, seorang penceramah jemputan hadir untuk memberikan ceramah dan secara tiba-tiba seorang lelaki datang merampas mikrofon sebelum menjerit menyatakan kuliah tersebut terlalu bising dan menganggunya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, menyatakan bahawa jemaah surau kemudian berjaya menghalang lelaki berkenaan daripada terus melakukan perkara yang tidak sewajarnya, serta meminta lelaki tersebut meninggalkan surau dengan cara yang baik.

“Kita menerima aduan kejadian itu daripada pengerusi surau berusia 61 tahun pada pagi, kelmarin.

“Ketika kuliah Subuh berlangsung, seorang lelaki tempatan yang tidak kenali terus menuju ke arah penceramah lalu menarik mikrofon dan menjerit menyatakan kuliah itu terlalu bising hingga mengganggunya.

“Jemaah surau juga bertindak menghalangnya dan meminta dia meninggalkan surau terbabit dengan cara baik.

“Berikutan itu, kita berjaya menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga stor berusia 34 tahun di Jalan Ikan Emas Mesra, Ampang pada jam 7 malam, semalam,” jelas Farouk berhubung insiden tersebut.

Menerusi kenyataan Farouk, pihak polis telah berjaya menahan lelaki berusia 34 tahun itu yang bekerja sebagai penjaga stor di Jalan Ikan Emas Mesra pada jam 7:00 petang kelmarin.

Farouk turut menjelaskan bahawa tindakan yang dibuat oleh lelaki tersebut sangat tidak beradab dan menganggu tempat ibadah serta jemaah surau.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah serta jenayah (ugutan jenayah).

“Suspek kini direman empat hari sehingga 12 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu berniat melukakan perasaan agama seseorang serta Seksyen 14 Kesalahan Kecil 1956 iaitu kelakuan aib,” tambah Farouk.

Susulan kejadian tersebut, Farouk memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan apa sahaja kelakuannya yang boleh menganggu ketenteraman dan keamanan awam.