Virus Baharu Langya Dikesan Di China, 35 Individu Dilaporkan Terjangkit

Seperti yang kita tahu, virus COVID-19 merebak ke manusia daripada kelawar melalui haiwan perantara di Wuhan, China. Fakta ini telah dikeluarkan oleh pasukan pakar antarabangsa yang menjalankan kajian mereka di Wuhan mengenai wabak penyakit tersebut.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini muncul virus baharu di China, 35 orang dilaporkan telah dijangkiti virus tersebut setakat ini.

Memetik laporan Berita Harian, virus baharu yang dikatakan berasal dari haiwan itu boleh tersebar kepada manusia dan dikesan sudah menjangkiti 35 individu di wilayah Shandong dan Henan, berdasarkan kajian saintis dari China, Singapura dan Australia yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine.

Menurut kajian juga, tiada rekod berkaitan bukti penularan wabak tersebut dari manusia ke manusia.

Berdasarkan laporan The Guardian, Henipavirus atau dikenali sebagai Langya Henipavirus (LayV) kali pertama dikesan pada tahun 2018 tetapi dikenal pasti oleh sainstis secara rasmi pada minggu lalu.

Kajian juga menunjukkan hasil sistem pengesanan awal untuk individu yang demam dan memiliki sejarah terdedah kepada haiwan dalam tempoh terdekat.

Virus itu ditemukan selepas pesakit menjalani ujian calitan di kerongkong, dan kebanyakan pesakitnya ialah kelompok para petani.

Virus LayV ini juga disahkan baharu, bermaksud ianya tidak pernah menjangkiti manusia sebelum ini.

Memetik laporan The Sun, terdapat dua virus daripada kelompok keluarga yang sama yang dapat dikenal pasti sebelum ini iaitu, virus Hendra dan virus Nipah.

Kedua-dua jenis virus ini boleh memberikan kesan yang sangat teruk sehinggakan boleh mengakibatkan maut.

Virus Hendra dan virus Nipah ini masih belum mempunyai vaksin ataupun rawatan ketika ini.

Menerusi laporan yang telah dibuat oleh The Global Times, satu kajian mengenai jangkitan kes henipavirus Langya di wilayah Shandong dan Henan ini telah dijalankan.

Hasil kajian tersebut mendapati bahawa 26 daripada 35 kes menunjukkan pesakit mengalami gejala klinikal seperti demam, kerengsaan, batuk, anoreksia, mialgia, loya, sakit kepala dan muntah.

Professor Wang Linfa dari Emerging Infectious Diseases Programme at Duke-NUS Medical School yang turut terlibat dalam kajian itu memaklumkan bahawa setakat ini kes berkaitan virus tersebut tidak membawa maut atau kesan serius jadi masyarakat tidak perlu berasa panik.

Professor Wang juga menasihati masyarakat agar perlu berwaspada kerana banyak virus yang wujud di alam semula jadi dan tidak dapat dijangka kesannya kepada manusia.

Pakar-pakar saintis juga masih menjalankan kajian untuk mencari kepastian sama ada virus ini mampu atau tidak merebak melalui manusia ke manusia.

Kajian yang dibuat terhadap pesakit didapati tiada hubungan rapat atau sejarah pendedahan biasa di kalangan pesakit yang menunjukkan bahawa jangkitan dalam populasi manusia mungkin bersifat sporadis.

Tambahan lagi, sembilan kenalan pesakit dan 15 ahli keluarga kenalan rapat menunjukkan tiada penularan LayV.

Walau bagaimanapun, saiz sampel untuk menguji status penghantaran manusia ke manusia untuk LayV ini terlalu kecil.

Menerusi tinjauan yang telah dibuat di dua wilayah China itu, memaparkan virus ini terdapat pada 71 daripada 262 ekor tikus dan mamalia kecil seperti lalat.

Selain itu juga, 5 peratus virus ini dikesan pada anjing dan 2 peratus pada kambing.

Berdasarkan kenyataan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS), penyebaran kuman daripada haiwan kepada manusia merupakan penyumbang kepada lebih enam daripada 10 penyakit berjangkit.

Namun begitu selepas Covid-19, lebih banyak sistem penjejakan virus kini sudah tersedia dan sedang mengambil patogen yang baru.