Iklan Pakej Haji Furada Tanpa Lesen, Pengarah Syarikat Agensi Pelancongan Ditahan

Kebelakangan ini, terdapat banyak kes yang melibatkan pakej haji dan umrah palsu. Jelas terbukti apabila masih ramai pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama Islam demi kepentingan diri sendiri.

Memetik laporan Kosmo, seorang pengarah syarikat agensi pelancongan didakwa atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah daripada Lembaga Tabung Haji pada Mei lalu.

Walau bagaimanapun, tertuduh yang bernama Agus Rizal Mat Ali, 50, mengaku tidak bersalah sewaktu tuduhan tersebut dibicarakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun di Mahkamah Sesyen yang terletak di Kuala Lumpur.

Berdasarkan pertuduhan yang telah dibuat, tertuduh didakwa sebagai seorang pengarah syarikat UC Travel Sdn Bhd telah mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada bagi musim 2022M/1443H .

Tertuduh telah memuat naik iklan tersebut di media sosial Facebook milik syarikatnya dengan menyatakan bahawa dia boleh menjalankan atau membuat transaksi perniagaan sebagai pengelola perjalanan haji ke tanah suci Makkah.

Tindakan yang tertuduh itu dianggap suatu kesalahan kerana syarikat tersebut tidak mempunyai sebarang lesen pengelola jemaah haji secara sah daripada Lembaga Tabung Haji.

Menerusi pertuduhan tersebut, kesalahan itu dibuat di pejabatnya yang terletak di Platinum Walk, Jalan Langkawi 2, Danau Kota di Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu.

Tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 27 (1) (b) Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27 (2) akta sama.

Sewaktu perbicaraan dilakukan, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak mengendalikan bahagian pendakwaan, manakala peguam Datuk Dhanaraj Vasudevan dan Ho Cheng En pula mewakili tertuduh.

Mahkamah memutuskan untuk membenarkan tertuduh diikat jamin RM 50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes.

Sekadar info, sebanyak 132 laporan polis dicatatkan mengenai kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada telah direkodkan setakat 31 Julai lepas membabitkan kerugian lebih RM 5.6 juta.

Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin, Setiausaha Polis Malaysia memaklumkan bahawa laporan yang diterima setakat tarikh berkenaan melibatkan 336 orang yang menjadi mangsa penipuan tiga syarikat pelancongan swasta.