Guru Hamilkan Pelajar 16 Tahun, Dibelasah Dan Diarak Ke Balai Polis

Viral sebuah video menunjukkan seorang guru lelaki yang diarak orang ramai dalam keadaan hanya berseluar dalam kerana didakwa merogol seorang murid perempuan sehingga mengandung.

Menurut laporan portal Daily Mail, kejadian yang berlaku di bandar Eluru, daerah Godavari Barat di negeri Andhra Pradesh itu sempat dirakam orang awam menggunakan telefon pintar.

Guru terbabit yang dikenali sebagai Rambabu, 38, dilaporkan telah dibelasah 15 orang lelaki dan ditelanjangkan sebelum diarak di sebatang jalan yang sibuk ke balai polis.

Menurut sumber, guru bahasa inggeris itu telah merogol pelajar Kelas 10 berusia antara 15 dan 16 tahun itu sebelum memberinya pil menggugurkan kandungan.

Berang dengan kejadian itu, saudara mara mangsa yang membawa rakan-rakan mereka menangkap guru berkenaan sebelum membelasah, membogelkan dan mengaraknya di jalan raya menuju ke balai polis.

“Dia adalah seorang guru dan mengumpan pelajar Kelas 10 dengan berjanji akan memberikan markah yang terbaik untuk dia, lalu merogolnya. Dia buat pelajar itu mengandung,” kata salah seorang lelaki dalam video tersebut.

“Dia hampir maut akibat pendarahan teruk. Kami bawa dia ke hospital. Apabila kami dapat tahu, kami tak dapat nak berdiam diri dan terus menangkapnya,” katanya lagi.

Ketika tiba di balai, polis memberi pakaian dan tuala kepala guru berkenaan sebelum dibawa ke bilik soal siasat.

“Mereka panggil saya keluar untuk berbincang, kemudian 15 orang lelaki terus membelasah saya tanpa belas kasihan,” kata Rambabu kepada polis.

Bagaimanapun, guru terbabit ditahan selepas mengaku di atas pertuduhan itu.

Difahamkan, polis tidak mengambil tindakan terhadap 15 orang lelaki yang terbabit dalam kejadian membelasah guru terbabit.

Sumber: DailyMail