Mengaku Imam Mahdi, Lelaki Ancam Letupkan Sri Pentas

Semalam, bangunan Sri Pentas di Bandar Utama terpaksa dikosongkan serta-merta selepas dikatakan menerima laporan ancaman bom dalam premis itu.

Kesemua kakitangan diarah keluar sehingga Unit Pengesan Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tindakan lanjut.

Seorang kakitangan syarikat itu menerusi rakaman siaran langsung di media sosial berkata ketika kejadian dia dan beberapa rakan sepejabat sedang bermesyuarat sebelum melihat kehadiran polis.

Anggota polis mengarahkan mereka yang berada dalam bangunan itu keluar dengan serta-merta.

“Apabila ditanya, anggota polis beritahu ada panggilan ancaman bom di sini (syarikat televisyen swasta terbabit).

“Kami difahamkan panggilan itu dibuat seorang lelaki yang mengaku dirinya Imam Mahdi,” katanya.

Unit Pengesan Anjing (K9) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat turut berada di lokasi bagi melakukan pemeriksaan.

Walaubagaimanapun, pihak polis mengesahkan tiada objek mencurigakan ditemui.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata pihaknya menerima panggilan mengenai ancaman bom berkenaan pada 10.12 malam daripada seorang lelaki.

“Tindakan polis mengarahkan kesemua staf keluar dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek yang mencurigakan ditemui. Ini hanyalah panggilan palsu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Zani berkata kesemua kakitangan di Sri Pentas dibenarkan masuk kembali ke bangunan itu pada kira-kira 1.30 pagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

Sumber: BERNAMA, Astro Awani