Bergaduh Berebut Parking – ‘Ini Tempat Letak Kereta, Bukan Tempat Letak Manusia!’

Semalam viral di media sosial video seorang wanita berdiri dan enggan berganjak dari tempat letak kereta yang di’cop’ untuk rakannya, menimbulkan kemarahan seorang lelaki yang terlebih dahulu sampai ke tempat itu.

Kejadian yang berlaku baru-baru ini di tempat letak kereta shopping mall Mid Valley, lelaki itu tidak berpuas hati dengan tindakan wanita yang enggan memberinya laluan untuk masuk ke tempat letak kereta itu dengan alasan, dia terlebih dahulu telah mendapatkan petak itu untuk rakannya.

Bengang dengan tindakan wanita itu, lelaki itu kemudian mengambil keputusan untuk menunggu biarpun ada beberapa kereta lain sudah beratur panjang di belakang.

Dia menjelaskan tindakannya itu kerana dia berhak untuk mendapatkan tempat itu kerana tiada amalan untuk ‘cop parking’ di tempat awam.

“Kebiasaannya saya tak layan hal-hal kecil seperti ini. Tetapi hari ini, kebetulan pula saya tak ada mood. Saya tidak pernah menyangka akan bertemu dengan orang bodoh seperti ini dan selalunya saya akan menunggu.

“Awak tak boleh reserve tempat letak kereta hanya kerana awak berdiri di situ. Kalau awak boleh tunggu, saya juga boleh tunggu. Saya ada banyak masa untuk tunggu.

“Ini adalah tempat letak kereta, bukannya tempat letak manusia. Beralih atau tunggu. Awak suka sangat menunggu lama kan? Tak apa, kita tunggu. Awak yang menyebabkan laluan menjadi sesak, bukan disebabkan saya,” tulisnya pada posting di Facebook.

Berdasarkan video, wanita terbabit enggan berputus asa sehingga kedua-dua pihak bertindak merakam video sesama diri. Malah, wanita itu juga tidak mahu mempedulikan lelaki itu.

Perbuatan ‘cop parking’ ini sebenarnya merupakan satu kesalahan dan orang ramai boleh membuat aduan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sama ada melalui WhatsApp 011-5115252 atau emel – [email protected] atau hubungi nombor telefon 03-88866412. Aduan perlulah disertakan dengan gambar atau video yang menunjukkan kesalahan individu berkenaan.