Graduan UMK Hidap Kanser Hidung, Berniaga Jual Arnab Bayar PTPTN

Seorang graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menghidap kanser pangkal hidung tahap empat, memelihara dan menjual arnab sejak dua tahun lalu.

Hasil dari perniagaan kecil-kecilan itu untuk kelangsungan hidup selain membayar hutang Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Bela arnab untuk terapi diri dan masa terluang

Menurut Abdul Halim Mat Hassan, 26, pada mulanya dia hanya membela arnab sebagai terapi diri dan mengisi masa terluang.

Namun begitu, perniagaan arnabnya kini dijadikan sebagai sumber pendapatan tambahan keluarga.

Ia bertukar menjadi pendapatan

Dia merupakan Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan itu berkata, disebabkan penyakit dihidapinya, dia sukar bekerja di luar rumah dan pergerakan terbatas.

“Arnab sajalah yang saya pelihara dan jual. Sehingga kini lebih 200 arnab terjual buat pada harga RM30 bagi dua ekor, bergantung saiz”.

“Saya perlu berusaha mencari duit sendiri kerana ayah hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu.

“Manakala ibu pula suri rumah dan adik-beradik yang lain bukan dalam kalangan orang senang”.

Jual arnab untuk bayar PTPTN

“Lagipun saya perlu membayar hutang pelajaran daripada PTPTN berjumlah RM26,000,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Kiok, Machang.

Sebelum ini, Abdul Halim sebelum ini pernah dilaporkan media mengenai deritanya menghidap kanser itu sejak Oktober 2017 dan menjalani konvokesyen tamat pengajian di rumah.

Hanya berselera makan bijirin selain nasi kosong

Menurut anak ketujuh daripada 10 beradik itu, setahun dia menjalani 36 kali radioterapi dan tujuh kemoterapi, selain lehernya ditebuk untuk saluran pernafasan.

“Kini saya hanya berselera untuk makan bijirin selain nasi kosong yang dilenyek hancur bersama sayur lembut. Tiada lagi kenikmatan terhadap makanan lain” ujarnya kepada Harian Metro.

“Saya juga berpantang bagi mengelak sel kanser aktif,” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250.

Berhasrat membantu kedua orang tuanya

Bercerita mengenai pengajiannya sebelum ini, dia pernah menangguhkan pengajian selama dua semester kerana masalah kesihatan.

Selain itu, dia juga menyimpan hasrat membantu orang tuannya sebagai tamat pengajian kerana dia anak pertama menjejakkan kaki ke menara gading.

Namun begitu, ketentuan Ilahi menyebabkan Abdul Halim reda dan menerima takdir itu dengan tabah.

Semoga perniagaan arnab Abdul Halim semakin berkembang dan moga dia kembali sihat seperti sebelum ini.