Gerai dan Barang Jualan Hangus Dijilat Api, Al-Quran Selamat Tak Terbakar

Beberapa hari lepas warga KL dikejutkan dengan kejadian kebakaran yang melibatkan kawasan terkenal Baza Melayu Jalan Masjid India.

Hanya berbaki dua minggu sahaja lagi untuk menyambut kedatangan Syawal, nasib tidak menyebelahi 30 peniaga apabila gerai perniagaan mereka musnah dalam kebakaran di hadapan Wisma Yakin, Masjid India, di Kuala Lumpur.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur L. Logeswaran berkata pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 1.35 pagi dan tiba di tempat kejadian pada pukul 1.45 pagi.

Mereka yang berada dalam keadaan buntu disebabkan gerai jualan yang terbakar awal pagi dikejutkan dengan penemuan dua naskhah al-Quran yang masih elok dalam lot yang musnah dijilat api.

Seorang pekerja gerai menjual pakaian di lot 12 dan 13, Salmiah Abdullah menyedari hal itu kira-kira jam 10 pagi ketika wartawan Sinar Harian turut sedang meninjau lokasi kejadian itu semalam.

Menurut laporan Sinar Harian, Al-Quran pertama ditemukan di bahagian tengah gerai dan seorang lagi pekerja menemukan satu lagi naskhah al-Quran terletak betul-betul dalam kawasan yang musnah dijilat api dan apabila dibelek, hanya bahagian kulit dan beberapa helaian di bahagian bucu al-Quran terbakar.

Sumber Gambar: Sinar Harian

Jika dilihat secara logiknya, pada kedudukan al-Quran itu ditemukan, ia mungkin sudah menjadi debu sebagaimana semua stok barang jualan yang lain hangus dijilat api.

“Bos dan saya selalu baca, selalunya saya simpan di bawah, tetapi malam kejadian itu saya gantung bersama telekung.

“Sepatutnya ia terbakar tetapi keadaannya masih elok. Hanya bahagian luar yang terjejas manakala sebahagian isi dalam sedikit basah terkena air,” katanya.

Sehingga hari ini, mereka yang terbabit dalam kebakaran itu tidak boleh berniaga di tapak terjejas sehingga siasatan oleh pihak bomba selesai.

Sebelum ini, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Penguasa Bomba L Logeswaran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 1.35 pagi tadi.

Seramai 48 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Sentul dan BBP Pudu bersama empat jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah ‘water tanker’ bergegas ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Menurut beliau, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Semoga para peniaga dapat pampasan dari pihak berkaitan dan dapat teruskan berniaga di kawasan lain yang lebih selamat.