Didakwa Belajar Tak Tinggi Sebab Jadi Pengawal Keselamatan, Wanita Tidak Kisah Dikecam Asalkan Dapat Cari Rezeki Halal

Bekerja sebagai pengawal keselamatan sering dipandang rendah oleh masyarakat kita. Antara ayat yang sering dilemparkan adalah “sebab tidak belajar tinggi”.

Baik lelaki mahupun perempuan yang menjadi pengawal keselamatan pasti akan dikatakan sedemikian.

Pun begitu, kita tidak sepatutnya memandang rendah kepada tahap pendidikan seseorang. Daripada bercakap buruk, sebaiknya kita bersangka baik sahaja.

Itulah yang terjadi kepada Siti Nurulatiqah Nawawi. Wanita ini dikecam bukan sahaja di dalam media sosial malah di di luar juga!

Seperti yang dipaparkan di TikTok Atiqah, walaupun dia bahagia dengan pekerjaannya sekarang namun di ruangan komennya dibanjiri dengan cacian.

Bukan itu sahaja, malah ada yang berani memperkecilkan tahap pendidikannya dan beranggapan sebab itu dia bertugas sebagai pengawal keselamatan.

Walau bagaimanapun, Atiqah menganggap penghinaan itu sebagai penguat semangat untuknya mencari rezeki yang halal dan terus berkhidmat.

Menurut sumber, ibu tunggal kepada empat cahaya mata ini mula berkhidmat sebagai pengawal keselamatan pada Januari 2021 selepas mengambil keputusan untuk tinggal bersama keluarga di Kuala Krai, Kelantan.

“Saya bercerai pada 2020 dan kebetulan pada masa itu ayah sakit, jadi dapat peluang untuk menjaga ayah. Apabila ayah sihat, saya ke Kuala Lumpur untuk bekerja tapi akhirnya pulang semula ke kampung halaman selepas beberapa bulan.

“Bermula Januari tahun lepas, saya ditawarkan kerja sebagai pekerja pembersihan… kira-kira beberapa minggu selepas itu, permohonan untuk menjadi pengawal keselamatan di sebuah hospital di Kelantan diterima dan saya mengambil peluang tersebut kerana tawaran gaji lebih baik,” katanya.

Tambah Atiqah, sejak menjadi pengawal keselamatan, dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah dimarahi orang awam yang datang melawat.

Atiqah yang berusia 30 tahun ini akui tugas sebagai pengawal keselamatan bukanlah mudah seperti yang selalu dikatakan.

Katanya, ramai yang menyangka mereka hanya duduk di ruangan pos sambil bermain telefon atau membuat TikTok.

“Memang nampak mudah seperti yang diperkatakan orang tapi sebenarnya kami juga mempunyai hari-hari yang sukar dan ia diseimbangkan melalui pertukaran shift.

“Kalau shift ringan, memang orang awam akan nampak pengawal keselamatan duduk sahaja sambil pegang telefon tapi kalau tiba pada shift sukar, kami terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Seperti di hospital, antara pos sukar adalah wad bersalin kerana kebanyakan pesakit terdiri daripada orang asli. Segelintir masyarakat orang asli akan melarikan diri kerana bosan tinggal di wad dan mereka juga sangat agresif.

“Kami juga perlu berhadapan dengan kerenah orang awam yang tidak memahami prosedur operasi standard hospital seperti situasi selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang memerlukan orang ramai membuat ujian Covid-19 terlebih dahulu sebelum memasuki premis,” katanya.

Selain itu, pengawal keselamatan juga tidak mempunyai cuti atau rest day seperti pekerjaan yang lain.

“Kami akan bekerja setiap hari dan setiap shift adalah selama 12 jam. Bagi pertukaran shift iaitu selepas tempoh tiga hari pula, kami perlu bertugas selama 18 jam.

“Memang tiada masa bersama anak-anak tapi disebabkan minat pada pakaian seragam, saya teruskan juga dan kini sudah hampir dua tahun berkhidmat,” katanya sambil menzahirkan kesyukuran kerana ibu dan bapanya sudi membantu menjaga anak-anak semasa dia bekerja.

Cerita Atiqah lagi, sebelum kembali tinggal bersama ibu bapa, dia pernah membuka kedai makan selain berniaga di kantin kilang.

“Pada masa tu, saya mempunyai dua orang pekerja… tapi kesian anak-anak sebab terpaksa bawa mereka bersama ketika berniaga.

“Jadi saya tidak mahu terus berniaga apabila pulang ke kampung dan memilih kerjaya sekarang,” imbasnya.

Dalam pada itu, ada yang meninggalkan komen dengan mempertikaikan pilihan kerjayanya sebagai pengawal keselamatan.

“Lawa macam ni rugi jadi guard. Awak cantik ada rupa, patut cari kerja lain yang lebih sesuai,” kata netizen.

Bagaimanapun, rata-rata netizen memberi komen positif dan menyokongnya.

“Relaks sis biar mereka berkata-kata sebab susah nak dapat kerja sekarang… ada PhD pun kerja kilang. Janji halal dan bahagia.”

Video yang tular di laman TikTok

@02dec92 Balas kepada @yeakulaa jeles ke wak??yg ade phd pom blm tntu dpt kje wak,yg tanam anggur kat balakang umah sy pom ade..dh2 la fake account 2..rasa jantan tunjuk muka sikit#ad #fyp #hina #jomlayan ♬ Jalan Pargoy –