Tiba-Tiba Kena Sawan, Isteri Hamil 8 Bulan ‘Pergi’ Menghadap Ilahi Buat Ramai Sebak

Setiap manusia yang hidup pasti akan mati dan kita sebagai hamba hanya perlu bersedia untuk hari tersebut.

Seperti kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang suami, Dzul Hisham Mhd Razali kehilangan dua insan tercinta sekaligus mengundang sebak ramai.

Difahamkan, isteri tersayang, Nur Atiqah Mustafa dan anak keduanya, Nur Ulya Hanania dijemput Ilahi hari yang sama iaitu pada 12 Julai lalu.

Nur Ulya Hanania yang dijangka dilahirkan pada 7 Oktober depan meninggal dunia jam 8.30 pagi kerana kegagalan mendapat oksigen manakala Nur Atiqah, 29, akibat pembuluh darah otak pecah pada 11.20 malam dan mereka berdua selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kuala Krai, Kelantan.

Kini, Dzul Hisham, 30, hanya ada anak sulung, Muhammad Umar Dayyan (dua tahun tiga bulan) yang masih belum faham dengan apa yang berlaku.


Berkongsi lanjut, dia juga memaklumkan bahawa isterinya tidak ada sebarang masalah kesihatan sepanjang tempoh kehamilan namun hanya mengadu pening kepala selepas ambil wudhuk untuk solat sewaktu hari kejadian sebelum terkena sawan.

“Isteri kemudian tidak sedarkan diri malah nadinya berhenti, jadi saya terus dapatkan bantuan untuk membawanya ke hospital.

“Kami tiba di hospital jam 8.10 pagi dan isteri terus dibawa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam perut namun anak kami tidak dapat diselamatkan.

“Manakala isteri diberi ubat jantung untuk bertahan namun akhirnya meninggal dunia menjelang tengah malam hari yang sama,” katanya

Dzul bagaimana pun tidak menyangka isterinya pergi disaat mereka sedang menantikan cahaya mata yang bakal dilahirkan. Bagaimana pun, Dzul akui reda dengan segala ketentuan.

“Memang susah (untuk terima) pada awalnya namun reda kerana melihat pemergiannya begitu cantik iaitu ketika masih ada emak dan ayah serta seluruh keluarga yang mendoakan.”

“Saya ada di sisinya di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sempat beritahunya yang saya sudah maafkan dia dan terima ketentuan seandainya sudah sampai masanya untuk pergi.”



“Matanya tertutup namun saya nampak air mata mengalir dan tak lama selepas itu, isteri menghembuskan nafas terakhir. Itu juga detik terakhir kami bersama dan anak sulung juga ada kerana dibenarkan masuk”

“Moga Allah tempatkan isteri dalam kalangan yang beriman dan saya berdoa pemergian anak jadi asbab dia tarik saya ke syurga,” katanya yang mencari rezeki dengan menjual cermin mata di premisnya dekat Bukit Payong, di sini.

Terdahulu, Dzul Hisham dan isterinya bernikah pada 27 April 2019. Walaupun mereka pernah merancang untuk memiliki seramai 6 orang cahaya mata, namun dia reda hasrat itu tidak kesampaian apabila Allah lebih menyayangi Allahyarhamah Nur Atiqah malah mereka juga ada mengumpul wang kerana merancang mengerjakan umrah bersama di Makkah pada 2024.

“Kami juga rancang mahu enam orang cahaya mata namun hasrat itu tidak kesampaian apabila isteri pergi dulu kerana Allah lebih menyayanginya.”

“Buat masa ini, saya tinggal berdua dengan anak sulung dan Alhamdulillah, tiada masalah untuk buat kerja rumah kerana sudah biasa.”

“Anak pula masih kecil dan belum faham mengenai kematian dan hakikat yang ibunya sudah pergi buat selamanya,” katanya.

Perkongsian yang tular di laman Facebook: