“Buat amal tapi tak tutup aurat, apa hukumnya?” Ini Jawapan Padu Mufti Tentang Isu Ini

Baru-baru ini nama Dr Amalina disebut-sebut warag Malaysia sebagai hero kerana bersuara dan membantu adik Ainul untuk dibawa ke UK bagai menjalani rawatan.

Malah, kejayaan pembedahan membuang tumor seberat 200g itu menyebabkan beribu waraga maya mengucapkan terima kasih kepada Dr Amalina.

Walau bagaimanapun, dalam ribuan yang bersyukur, masih ada manusia yang sentiasa tidah pernah berpuas hati kerana Dr Amalina tidak bertudung.

Baca: “Dr. Amalina Kata Pakar-pakar di UK ramai yang nak bantu Ainul” Team Pakar UK Tunggu Ainul Datang

Bagi menjawab isu ini, Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri ataupun lebih dikenali dengan nama Dr. MAZA telah memberi ulasa mengenai isu ini.

BUAT BAIK TAPI TAK PAKAI TUDUNG..?

Sejumlah orang menghantar soalan kepada saya tentang kebaikan seorang doktor perubatan yang membantu menyelamatkan seorang kanak-kanak yang menghidap Germ Sell Tumour. Kisah itu viral dan menjadi trending sehari dua ini.

Persoalan mereka “patutkah kita memuji-muji doktor tersebut sedangkan beliau tidak bertudung kepala dan agak seksi?”.

Walaupun kita rasa persoalan seperti itu tidak wajar, namun itulah persoalan yang bermain dalam fikiran sebahagian mereka yang terkena versi kefahaman Islam yang bersifat punitif.

Kadang-kala bukanlah salah mereka, sebab mereka telah dididik dalam versi kefahaman agama seperti itu.

Kefahaman agama mereka bersifat begitu menghukum sesuatu kekurangan yang mereka lihat pada seseorang dan gagal melihat kebaikan-kebaikan lain yang ada pada individu yang sama.

Versi kefahaman atau cara fikir seperti itu menjadikan mereka memilih satu amalan yang menjadi satu ukuran utama mereka seperti bertudung, atau menyokong perjuangan mereka atau seumpamanya.

Itu dijadikan penentu tunggal bagi kebaikan dan keburukan seseorang. Segala amalan baik akan dinafikan jika tidak mempunyai ciri yang mereka pilih itu.

Mereka itu lupa bahawa di akhirat kelak, ALLAH menimbang dengan adil setiap kebaikan dan kejahatan seperti yang ALLAH nyatakan dalam Surah al-Zalzalah. Mereka juga lupa al-Quran dalam Surah al-Qari’ah menyatakan bahawa sesiapa yang pahalanya mengatasi dosanya maka dia akan ke syurga.

Sesiapa yang sebaliknya, maka dia ke neraka. Ertinya, penilaian ke syurga bukan dibuat atas siapa yang tidak mempunyai dosa, tetapi siapa yang pahalanya mengatasi dosanya.

Mereka lupa dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan selainnya Nabi s. a. w. memberitahu bagaimana diampun dosa pelacur kerana memberi minum kepada anjing yang kehausan hampir mati.

Tentulah betapa lebih layak untuk mendapat keampunan seseorang yang memberi minum atau menyelamatkan nyawa manusia yang terancam jika dilakukan dengan jiwa yang kudus.

Ya, dosa tetap dosa.

Kita tidak menghalalkan dosa disebabkan sesuatu kebaikan yang lain. Namun, kita tidak boleh menafikan kebaikan seseorang disebabkan satu dosa yang lain.

Boleh jadi orang yang kita lihat melakukan sesuatu dosa itu, dia lebih baik di sisi ALLAH disebabkan pahalanya yang lain atau kemurnian niatnya yang kita mungkin tidak tahu. Boleh jadi kita yang tidak melakukan dosa tertentu ini, lebih buruk di sisi ALLAH disebabkan dosa yang lain.

Justeru, janganlah kita cuba menentu syurga dan neraka sesiapapun. Tugasan kita hanya memberitahu bahawa itu dosa, ini pahala. Pahala boleh membawa ke syurga, sementara dosa boleh membawa ke neraka. Beritahu apa yang ALLAH suruh dan apa DIA larang.

Adapun kedudukan pelaku dosa dan pahala di sisi ALLAH, hanya DIA yang maha tahu. Dia Yang Maha Mengetahui hakikat keseluruhan hidup seseorang zahir dan batin. DIA yang mengetahui timbangan antara dosa dan pahala seseorang.

Kemudian kita hendaklah kita tahu di sana ada dosa peribadi hanya antara hamba dengan TuhanNYA tanpa membabitkan hamba-hamba ALLAH yang lain.

Dosa jenis ini mudah diampunkan oleh ALLAH.

Di sana pula ada dosa yang membabitkan kezaliman antara kita dengan hamba-hamba ALLAH yang lain. Dosa ini tidak diampuni sehingga kita memohon kemaafan atau membayar pahala kita di akhirat kelak.

Jika tidak, kita mesti menanggung dosa orang yang kita zalimi. Inilah yang Nabi s. a.w tegaskan dalam hadis riwayat Muslim.

Maka, boleh jadi ada orang yang di mata kita lekeh disebabkan dosa peribadi seperti tidak menutup aurat, namun dia kurang melakukan dosa dengan hamba-hamba ALLAH yang lain.

Boleh jadi orang yang kita pandang tinggi dengan penampilannya, tapi betapa banyak dosanya dengan hamba-hamba ALLAH yang lain.

Justeru, janganlah kita menafikan kebaikan orang lain disebabkan sesuatu kekurangan yang kita lihat. Ini tidaklah bererti menjustifikasi dosa yang dia lakukan, tapi kita dituntut untuk adil dalam menilai orang lain. Dosa dinilai dosa, baik dinilai baik.

Ada dosa tidak semestinya tiada kebaikan. Ada pahala tidak semestinya tiada dosa.

Akhirnya, hendaklah kita sedar, kita semua sebenarnya pendosa. Cumanya, antara yang diketahui orang dan tidak ketahui oleh orang lain.

Seperti mana kita mahu orang adil kepada kita, maka adillah kita terhadap setiap orang. Apa yang salah ia tetap salah tetapi tidak bererti menafikan kebaikan yang lain jika ada. Apa yang baik tetap baik, tetapi tidaklah menjustifikasi dosa yang lain.

Semoga perkongsian ini memberi ilmu dan manfaat kepada semua pembaca.