Bawa Anak Pergi Meniaga, Anak Sikit Pun Tak Mengeluh Siap Lepak Dalam Stall Kira Duit

Ibu bapa yang bekerja sebagai peniaga mesti faham akan situasi di mana terpaksa membawa anak-anak berniaga sekali.

Berniaga bukanlah sesuatu yang mudah. Tambahan pula yang mempunyai gerai di tempat terbuka. Sudah pasti akan menimbulkan ketidakselesaan kepada anak-anak.

Sama seperti kisah sebuah keluarga ini. Sedang si ibu dan ayah meniaga mencari rezeki, anaknya gigih meneman kedua ibu bapanya tanpa mengeluh apa-apa.

Riak wajah comel yang ditunjukkan oleh anak pasangan suami isteri ini telah menarik perhatian ramai! Walaupun masih kecil, dia seolah-olah faham akan kegigihan ibu bapanya itu.

“Terima kasih kakak yg memahami kerja mommy daddy..” tulis Deanna Erlyssa di ruangan kapsyen video yang memaparkan anaknya sedang duduk di ruang kecil yang diperbuat daripada papan.

Deanna berkata dia tidak menghantar kedua-dua anaknya Nuramira Dylaina, 3, dan Amir Dylan yang baru berusia enam bulan ke rumah pengasuh. Oleh itu dia terpaksa membawa anak-anaknya pergi berniaga.

“Saya memang bawa dua-dua anak ikut pergi berniaga. Saya pernah cuba hantar di rumah pengasuh supaya lebih selamat tapi dia (Amira) tak nak duduk situ pula. Bila bawa berniaga ni risiko, dia main merata.

“Tapi ada baiknya juga sebab saya boleh pantau pergerakan dia sebab ada depan mata. Lagipun saya berniaga pukul 4 petang sampai 10 malam saja.

“Saya kesian tengok anak tak bebas bergerak sedangkan memang usia dia ni tengah seronok bermain. Jadi saya sediakan ruang kat bawah meja berniaga tu sebagai ruang bermain,” katanya yang menetap di Taman Jasmin, Senawang, Negeri Sembilan.

Selain itu, Deanna sempat menjelaskan tujuannya membuat ruangan kecil khas di bawah meja berniaga. Katanya, itu adalah untuk mengelakkan anaknya berlari berkeliaran di sekitar kawasan gerai yang terletak berhadapan sebuah kedai mainan di Senawang.

Tambah Deanna lagi, dia dan suaminya Amyzan Syafiqi, 28 memang sudah lama meniaga laksa tempurung, corndog, jagung susu serta kentang goreng di situ.

Disebabkan sudah lama meniaga di tempat sama, dia dan suami akui sudah banyak kali membawa anak-anak mereka ke tempat berniaga.

“Saya memang akan bawa dia dan adiknya pergi berniaga. Setiap kali nak pergi tempat berniaga, dia akan pilih siap-siap nak bawa mainan apa untuk main di bawah meja nanti.

“Biasanya dia akan bawa mainan dan pensil warna. Ikut mood dia nak main apa nanti. Dia memang selesa duduk bawah tu sebab suami dah sediakan kipas jadi memang tak panas pun.

“Dari segi keselamatan saya dah ambil kira juga. Sebelum anak nak keluar, saya akan suruh dia panggil sebab saya akan pantau dulu jadi tak ada masalah pun,” katanya.

Video yang tular di laman TikTok

@deannaerlyssa Terima kasih kakak yg memahami kerja mommy daddy.. #jagungviral #fyp #bisneskecil #corndog #loadedfries ♬ suara asli – rafaaldiansyah

Di ruangan komen, video TikTok yang dimuat naik Deanna dilimpahi dengan kata-kata positif! Netizen mendoakan Deanna agar sentiasa dimurahkan rezeki dalam perniagaannya.

“Ramai yang puji anak saya baik sebab dia siap tolong berniaga. Dari dia kecil lagi kami dah bawa berniaga jadi memang dah terbiasa dengan rutin macam ni.

“Saya saja share video tu untuk kenangan tapi tak sangka pula boleh viral. Saya nak tunjuk dekat mereka nanti sebab ikut saya dan suami pergi berniaga. Rupa-rupanya ramai orang yang kongsi cerita mereka pun dulu ikut mak ayah pergi berniaga sama macam anak saya sekarang.

“Apa-apa pun saya bersyukur dengan semua yang Allah dah aturkan. Dapat anak yang sihat dan baik juga satu anugerah dan nikmat Allah pinjamkan untuk kami sekeluarga juga,” kata Deanna.