Bapa Sebak Melawat Rumah Lama Arwah Anak, Ralat Tak Dapat Jumpa Kali Akhir

Rindu yang paling sakit dan tidak terungkap dengan kata-kata adalah rindu pada orang yang sudah tiada. Sememangnya ia adalah rindu yang tidak ada penghujungnya. Pun begitu, sebagai hamba kita perlu redha dengan segala ketentuan yang sudah pun tertulis.

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang gadis Azizue Haifaa Mohd Zubair, 22 berkongsi situasi hiba sewaktu melawat rumah lama arwah kakak sulungnya, Azizue Hasnie yang meninggal dunia akibat sakit buah pinggang dan tuberkulosis (TB) pada 22 April 2021, ketika usia 29 tahun.

Memetik laporan mStar, pada waktu itu mereka hanya boleh pergi ke kediaman arwah yang dipanggil Along yang terletak di Subang Impian, Selangor kerana SOP pandemik Covid-19 tidak membenarkan orang ramai untuk menziarahi kubur.

“Along meninggal dunia lepas lima bulan dia kahwin. Dia menghidap sakit buah pinggang dan TB. Masa dia meninggal tu hari ke-10 kita berpuasa tahun lepas.”

“Pada 12 Julai baru-baru ni kami satu keluarga dari Kuala Terengganu sekali lagi pergi ke rumah Along. Itu memang rumah dia beli dengan suaminya dan mereka memang tinggal berdua saja.”

“Tujuan kami ke sana untuk ziarah kubur Along sebab masa Along meninggal kami cuma dapat tengok pengebumian dari jauh sahaja,” katanya


Menerusi video yang dimuat naiknya di laman TikTok @azizuehaifaa29, dapat kita lihat bapanya tidak dapat menahan sebak mengenangkan anak sulungnya. Dia juga kelihatan berlegar-legar di dalam rumah dan adakalanya termenung teringat akan anaknya.

“Mungkin ayah terlampau rindukan Along dan rasa bersalah sebab tak sempat jumpa sebelum Along meninggal.”

“Ikut perancangan, sehari selepas tarikh Along meninggal dia nak balik ke Terengganu. Tapi tak sempat, sebab tu kami satu famili amat terkesan dengan pemergiannya,” katanya.

Menurut Haifaa, Along merupakan seorang kakak yang tegas dan garang tetapi dalam masa sama begitu sayangkan adik-adiknya.

Tambahnya lagi, walaupun Along menderita sakit lebih kurang dua tahun namun dia tetap kuat semangat untuk bekerja.

“Kalau bercakap fasal Along, dia seorang yang penyayang. Ayah ni suka usik Along kalau dia balik Terengganu”

“Along seorang yang kuat semangat. Selepas lebih kurang dua tahun dia sakit, baru dia berhenti kerja.”

“Tapi dia tetap cari ‘duit tepi’ walaupun tengah sakit. Macam-macam bisnes online dia buat sampai makin hari makin kurus.”

“Along ada berniaga keropok. Lepas dia meninggal, banyak stok sampai. Jadi saya tolong suami dia dapatkan balik modal dengan jual semua keropok tersebut,” imbas Haifaa.

Dihujung video tersebut, dapat kita lihat, mereka sekeluarga melawat rumah baru Along serta sedekahkan bacaan yassin buat arwah bagi melepaskan rindu yang terbuku.

Video yang tular di laman TikTok:

@azizuehaifaa29Alhamdulillah , setelah setahun lebih tak datang tengok Along , haritu kami dapat ziarah kubur Along buat kali ke 2 🤍 Terima kasih Ya Allah izinkan kami sampai ke sini . Al-Fatihah untuk Along 🤲🏻❤️♬ original sound – Shuib Sepahtu