Anjing Meronta Diseret Dari Dalam Kereta, Tindakan Kejam & Tidak Waras Myvi Putih Buat Ramai Berang!

Tidak kira lah agama apa sekalipun, tetapi semua menegaskan untuk berbuat baik bukan sahaja sesama manusia malahan haiwan juga.

Namun pada masa kini, ianya seolah-olah tidak dipraktikkan apabila ada yang tidak berhati perut menganiaya haiwan. Terkadang hairan, manakah sifat keperimanusiaan dan kewarasan seorang insan terhadap binatang yang tidak berdosa?

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seekor anjing yang diseret dari sebuah kereta Perodua Myvi mencetuskan kemarahan warganet.

Memetik laporan mStar, kejadian yang dipercayai berlaku di Skudai, Johor itu, seorang individu dilihat mengeluarkan tangannya dari bahagian tingkap kereta sambil menyeret anjing tersebut di atas jalan raya.

Lebih menyedihkan apabila melihat keadaan anjing tersebut yang meronta-ronta kerana tali diikat pada lehernya dan kakinya yang cuba mengejar kelajuan kereta.

“Orang jenis ini patut dapat hukuman maksimum. Viral sampai dapat. Jalan Emas 16 Taman Sri Skudai MyVi JMV9157,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Difahamkan video tersebut dirakam oleh ahli keluarganya ketika sedang berada di dalam sebuah Grab, yang berada di belakang Myvi putih berkenaan.

“Saudara saya rakam video ini masa naik Grab. Mereka berjaya menghentikannya. Tapi dia turun dari kereta, lepaskan anjing dan memecut laju. Jiran-jiran datang keluar untuk tengok anjing.”

“Minta maaf, tiada alamat rumah. Yang saya ingat hanya Jalan Emas 16. Polis sudah dihubungi dan mereka akan hantar pasukan untuk siasat,” tulis individu itu lagi.

Menurut info lain, anjing tersebut akhirnya ditinggalkan di tepi jalan namun ada orang yang telah mengambil anjing itu untuk dirawat.

Video yang tular di laman Twitter:

Ketika artikel ini ditulis, video tersebut telah meraih 160.5K tontonan, 5335 ulang kicau dan 3080 tanda suka di applikasi Twitter.

Meninjau reaksi netizen, ramai yang turut menzahirkan rasa pilu atas nasib malang anjing tersebut dan berang dengan sikap pemandu myvi yang tidak berperikemanusiaan itu.