Anak Belum Masuk Duit, Warga Emas Tetap Berulang Kali ‘Cucuk’ Kad Walau Baki Ada RM 11 Buat Netizen Sebak

Sebagai anak, kita perlulah berbakti selagi mana orang tua kita masih hidup kerana apabila meningkat dewasa, mereka merupakan amanah kepada setiap anak.

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang wanita yang dikenali sebagai Mira berkongsi sebuah cerita menyentuh hati tentang seorang warga emas yang ditemui di sebuah bank mencuri perhatian ramai.

Difahamkan, pada ketika itu Mira bersama-sama tunangnya dalam perjalanan pulang ke ibu kota selepas beraya di kampung masing-masing di Perak.

Memetik laporan mStar, lelaki warga emas berkenaan dilihat berkali-kali cuba memasukkan kad bank sebelum berlalu dengan wajah yang sugul kerana tidak berjaya mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Masa itu tunang nak hantar saya balik rumah. Sekitar pukul 8.20 malam, kami singgah di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Changkat Jering nak keluarkan duit.”

“Dari luar memang dah nampak kelibat pakcik tu tunggu giliran nak masuk untuk keluarkan duit juga. Bila dah sampai giliran pakcik tu, nampak banyak kali dia masukkan dan keluarkan kad bank dia.”

“Sangkaan kami kad dia bermasalah. Malah ada seorang kakak yang ada di dalam bank masa itu pun cuba tolong pakcik tu juga. Tapi still sama, masih tak dapat keluarkan duit,” cerita Mira.

Menurut wanita berusia 27 tahun ini, selepas gagal mengeluarkan wang, lelaki berkenaan keluar dari bank dan berkali-kali merenung kad bank miliknya di kaki lima.

“Tunang pun keluar kereta dan bertanya pakcik tu ‘kad pakcik rosak ke?’. Jawab pakcik tu ‘anak tak masuk duit lagi, baki ada RM11 lebih je’.”

“Tunang saya terus hulur sampul raya. Pakcik tu terus ucap ‘Alhamdulilah terima kasih banyak nak’. Sebelum beredar, sempat tunang saya minta pakcik tu doakan kami murah rezeki,” ujar Mira yang juga pekerja sektor swasta.

“Kebetulan motor pakcik tu diparkir belakang kereta kami. Masa pakcik tu atas motor, dia termenung tengok sampul yang kami bagi. Sayu betul rasa.”

Mira juga akui tidak dapat menahan sebak apabila melihat perkara tersebut malah dia bersyukur masih mempunyai ibu bapa untuk berbakti.

“Masa tunang masuk kereta dan beritahu apa yang diucapkan pakcik itu, terus mengalir air mata. Rasa bersyukur masih punya ibu ayah untuk berbakti,” katanya lagi.

Video yang tular:

@miyyyyyy6 Sebab masih mood raya , kita letak lagu raya🥲 #fyp #fypdongggggggg ♬ Air Mata Syawal – Siti Nurhaliza

“Banyak komen yang benar-benar menyentuh hati saya. Antaranya ada netizen komen, begitulah perasaannya sewaktu kecil apabila bapanya nak keluarkan duit tapi duit tiada. Sekarang ini bila dah besar, dia tak lupa beri duit setiap bulan untuk bapanya.”

“Satu lagi komen yang memberi kesan, sebenarnya Allah tidak menguji pakcik itu tetapi sedang menguji kita.”

“Benar, kalau kita rasa kita susah, sebenarnya ada ramai lagi yang memerlukan.”

“Dan bagi yang masih punya ibu ayah di hujung usia, hargailah mereka dan berbaktilah selagi masih ada peluang,” akhirinya.