“Wow macam Spiderman” Abang Bomba Tunjuk Skill Gayut Dalam Photoshoot Wedding Buat Ramai Teruja

Sejak akhir-akhir ini, dilihat ramai yang ingin mendapatkan pertolongan daripada abang bomba ekoran daripada kemunculan mereka pada sambutan Hari Kemerdekaan 2022 tempoh hari.

Difahamkan, netizen mula jatuh hati pada abang bomba setelah melihat bentuk badan mereka yang sado dan gagah. Malah mereka sempat membuat content di TikTok seperti tercedera hanya kerana ingin dibantu abang bomba.

Walaupun kejadian itu masih belum reda, baru-baru ini tular pula seorang anggota bomba sanggup bergayut pada tali ala-ala Spiderman untuk mencium isterinya!

Anggota bomba berkenaan, Norman Affan Jumaat, 27 berkata, dia tidak menyangka foto perkahwinannya yang dikongsi oleh isteri, Nur Izyana Muhamad Shah, 26, akan tular.

Norman akui terkejut kerana foto tersebut diambil pada hari perkahwinan mereka dua tahun lalu pada 8 Februari 2020.

“Isteri baru tunjuk selepas dia post semalam (Jumaat). Itu gambar kahwin masa sesi fotografi di Balai Bomba dan Penyelamat Larkin di Johor.

“Memang terkejut sebab masa kahwin dulu tak ada pun viral. Aksi ‘gayut’ tu adalah idea saya sebab memang minat dan mengikuti filem-filem Spider-Man,” katanya.

Norman yang menganggotai pasukan bomba sejak 2019 menjelaskan aksi yang dilakukan itu merupakan sebahagian latihan keselamatan yang dilakukan mereka dari semasa ke semasa.

“Ia dipanggil latihan Spider-Man, yang dilakukan dalam latihan menyelamat ketika turun dari aras yang tinggi. Saya gunakan teknik ini untuk tunjuk macam dalam babak filem Spider-Man.

“Sesi fotografi mengambil masa kira-kira dua jam, tapi aksi Spider-Man tu hanya lima minit. Sesi penggambaran lain di sekitar balai termasuk di sebelah jentera bomba,” katanya yang bertugas di Kajang, Selangor.

Selain itu, Norman berkata dirinya langsung tidak terfikir akan diberi gelaran  Spider-Man itu sememangnya dan menganggapnya sebagai gurauan dalam kalangan netizen.

“Saya terkejut apabila ramai panggil saya Spider-Man, rasa kelakar pun ada. Aksi Spider-Man tu hanya dilakukan ketika latihan dan waktu kerja.

“Di luar waktu kerja, saya macam biasa. Melakukan aktiviti outdoor di masa lapang seperti hiking atau bermain online game kegemaran, Mobile Legends,” katanya yang berasal dari Kempas, Johor.

Bercakap soal Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu, Norman berkata dia tidak menyertai mana-mana perarakan kerana bercuti sempena kelahiran cahaya mata sulung.

“Saya ambil cuti sempena isteri bersalin pada 16 Ogos dan telah kembali bertugas. Isteri kini berpantang di Johor,” katanya sambil memberitahu isterinya merupakan pembantu klinik.

Tambah Norman, dia bercadang untuk memakai kostum Spider-Man pada masa akan datang sekiranya berpeluang melakukannya.

“Bagi saya, Spider-Man ini unik, watak adiwira yang lain daripada lain. Begitu juga dengan tugas sebagai anggota bomba, merupakan satu kepuasan yang berbeza.

“Lebih-lebih lagi apabila kami dapat memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat. Bila mereka menghargai dan berterima kasih kepada kami, ia merupakan satu nikmat,” katanya.

Video yang tular di laman TikTok

@yananonku Replying to @sya_lala dekat atas tower tu ada org tolong adjust tali 😬 #fyp #abangbomba #weddingshoot ♬ Tiba-Tiba Speed Up – liriklaguツ