Wanita Dibuli Di Alam Siber, Meninggal Dunia Selepas Terima Komen Negatif

Semakin kita jejak ke arah modenisasi, semakin banyak kegiatan buli siber berlaku di seluruh negara termasuk negara Malaysia. Buli siber ini memberikan banyak impak negatif terhadap penggunanya.

Menerusi laporan Malaysia Kini, seorang pempengaruh popular di laman TikTok meninggal dunia sewaktu dikejarkan ke hospital dari rumahnya.

Shashikala Nadarajah, 44, dilaporkan menerima komen-komen berbaur negatif dan komen kebencian bertubi-tubi di akaun TikTok miliknya yang diikuti oleh ramai pengguna.

Berdasarkan kenyataan pihak polis, mangsa dipercayai cuba membun*h diri sebelum dikejarkan ke hospital sekitar jam 11:45 malam kelmarin (6 Ogos).

“Mangsa telah dibawa oleh keluarganya ke hospital dalam keadaan masih bernafas dan meninggal dalam perjalanan.

“Hasil siasatan awal dimaklumkan bahawa si mati pernah mengalami tekanan perasaan dan mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya.

“Pemeriksaan tempat kejadian dan fizikal si mati telah dibuat, tiada kesan berlakunya unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).

“Post mortem telah dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” jelas Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya hari ini.

Pihak polis turut menyatakan bahawa tiada laporan polis dibuat atas dakwaan mangsa menerima gangguan buli siber.

Sebelumnya, media melaporkan mangsa dibuli secara siber mengenai penampilannya dan koleksi beg tangannya, yang telah dikongsikan oleh mangsa menerusi akaun TikToknya itu.

Menurut laporan Sinar Daily, Rose Veronica yang merupakan salah seorang pengguna TikTok juga mengatakan bahawa Sashikala sudah tiada lagi dan berkongsikan mengenai anak mangsa yang menyatakan bahawa ibu mereka tidak boleh bertolak ansur dengan komen-komen negatif yang diterimanya itu.

“Saya tidak dapat bayangkan dalam keadaan bagaimana dia lalui sehingga dia buat keputusan yang drastik,” jelas Veronica dalam video TikTok yang dimuat naik menerusi akaun @roseveronfdam pada jam 4 pagi tadi.

Sashikala yang mempunyai tiga orang anak ini, turut mempunyai lebih 30,000 pengikut di laman TikToknya sering berkongsikan mengenai pandangannya terhadap pelbagai topik seperti persekolahan di rumah, gangguan seksual dan cara mengekalkan penjagaan beg tangan mewah.

Video terakhir yang dimuat naik oleh mangsa merupakan video dia memulakan persekolahan di rumah untuk tiga anak perempuannya menggunakan sukatan pelajaran Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE).

Rata-rata pengguna laman TikTok mengucapkan takziah kepada Sashikala, dan menasihati pengguna lain agar jauh daripada media sosial jika tidak mampu menangani komen-komen negatif daripada laman sosial.

Ramai juga pengguna TikTok yang lain meluahkan rasa sedih mereka menerusi akaun TikTok masing-masing.

Justeru itu, kita sebagai pengguna media sosial seharusnya tidak menyalahgunakan platform yang sedia ada dengan melakukan kegiatan buli siber kepada orang lain.

Kita tidak akan pernah tahu apa yang dialami oleh seseorang itu, jangan sudah terhantuk baru nak terngadah.

Jagalah bicara kita di alam siber sebaik mana apabila kita berhadapan dengan seseorang, kerana tiada siapa ingin diri mereka diperkatakan dengan kata-kata negatif, macian dan keji.

Jika anda berasa tertekan dan memerlukan pertolongan lanjut mengenai masalah kesihatan, atau mengenali seseorang dalam keadaan tersebut sila hubungi;

Talian Kasih
Hotline: 15999

The Befrienders
Hotline: 03-76272929

Agape Counselling Centre Malaysia
Hotline: 03-77855955 or 03-77810800

Life Line Association Malaysia
Hotline: 03-42657995

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah menyediakan talian sokongan psiko-sosial untuk petugas barisan hadapan dan lain-lain yang terjejas secara emosi akibat wabak Covid-19.

Talian boleh dihubungi di 014-3223392, 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935, dari 8 pagi ke 5 petang.

 

Video TikTok Veronica Rose:

@roseveronfdam #imrose #veronacademy rest in peace darling@sashikala1978 ♬ original sound – roseveronica🇲🇾🇬🇧(FDAM)