Ayah Hilang Dalam Perjalanan ke Johor, Kereta Dijumpai Terjunam Dalam Gaung

Kehilangan ahli keluarga merupakan suatu perkara yang sangat mengkhawatirkan dan tidak diingini oleh setiap keluarga. Tidak kira muda atau sudah berusia, kehilangan mereka masih membuatkan ahli keluarga yang lain berasa sangat risau akan ke mana keberadaan mereka.

Berdasarkan laporan Kosmo, lelaki yang dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke Johor sejak Ahad lalu telah ditemui pada hari ini.

Mangsa yang merupakan seorang bapa, Zahari Zakaria, 63, ditemui maut apabila kereta Myvi yang dipandu olehnya terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Jemaluang, Mersing pagi tadi.

Zul Hasni Zahari, 39, anak sulung mangsa mengatakan bahawa dia telah menerima panggilan kira-kira pukul 7 pagi daripada orang awam mengenai penemuan kereta yang dinaiki bapanya itu.

Terang Zul Hasni, berdasarkan maklumat awal yang diterima, bapanya itu ditemui meninggal dunia kerana tersepit dalam kereta yang sudah terbalik.

“Bapa saya kerja sebagai inspektor kapal dekat Pelabuhan Pasir Gudang, hujung minggu atau dua minggu sekali dia akan balik ke kediaman keluarga di Kemaman, Terengganu.

“Dia (Zahari) bertolak dari Kemaman kira-kira pukul 10 malam melalui jalan biasa dia memandu iaitu Jalan Kuantan-Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi-Pasir Gudang,” kata anaknya itu.

Jenazah mangsa kini dibawa ke Hospital Mersing sebelum akan dibawa ke Kemaman untuk urusan pengebumian di kampung halamannya.

Sebelumnya, rata-rata portal berita melaporkan kehilangan bapa kepada tujuh orang anak itu yang dipercayai hilang sewaktu dalam perjalanan pulang dari Kemaman, Terengganu ke rumahnya yang terletak di Johor.

Melalui perkongsian yang telah dibuat oleh salah seorang anak mangsa, Siti Nurfaezah Zahari di laman Facebooknya semalam menyatakan bahawa bapanya itu tidak dapat dihubungi lebih daripada 24 jam.

“Ayah saya, Zahari bin Zakaria tidak dapat dihubungi oleh pihak keluarga dan rakan-rakan lebih 24 jam.

“Pihak keluarga sudah hubungi polis dan hospital tetapi tidak menerima sebarang laporan mengenai beliau,” tulis anaknya itu dalam satu hantaran yang telah dibuat.

Dalam hantaran tersebut juga Siti Nurfaezah berkongsikan mengenai kenderaan yang dinaiki bapanya iaitu Perodua Myvi berwarna biru plat WC9129E.

Pada masa sama, dia bersama ahli keluarga yang lain turut berasa rendah hati dengan memohon kepada orang ramai agar mendoakan kesejahteraan Zahari dan semoga dapat dipertemukan.

“Kami sekeluarga dengan rendah hati mohon semua mendoakan kesejahteraan ayah kami dan semoga kami dapat menemui ayah kami,” jelasnya.

Admin mendoakan agar Allahyarham Zahari Zakaria ditempatkan di kalangan orang beriman dan dipermudahkan segala urusan. Salam takziah buat keluarga.