11 Lelaki Ditahan Terlibat Aktiviti Sabung Ayam, Tertuduh Mengaku Tidak Bersalah

Sabung ayam merupakan suatu aktiviti ‘sukan berd*rah’ di mana melibatkan dua ekor ayam jenis Ayam Sabung. Seperti yang kita tahu, aktiviti sabung ayam ini sudah diharamkan di Malaysia kerana berunsurkan judi dan melibatkan kecederaan fizikal serta trauma kepada ayam tersebut.

Memetik laporan Kosmo, seramai 11 orang lelaki telah ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti sabung ayam secara haram di Chendering, Terengganu pada dua bulan lalu.

Tertuduh yang berusia antara 23 hingga 40 tahun itu ialah Md. Asyraf Zuhairy Md. Zainudin, 37; Mohamad Fakro Riduan Sidek, 26; Muhammad Amir Asyraf Zakaria, 27; Muhamad Hazimin Hasbollah, 27; Syed Safanizam Syed Yahya, 33; dan Mohd. Noorsyaiful Zaidi Sulong, 32.

Selain itu, Mohd. Kamal Gani, 30; Mohd. Afiq Che Awang, 36; Mohd. Faizal Jusoh, 40; Mohammad Hakim Iskandar Zaidi, 24; dan Wan Muhammad Shafiq Wan Ibrahim, 23, juga menghadapi pertuduhan yang sama.

Walau bagaimanapun, mereka membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Pertuduhan yang didakwa ke atas mereka ialah mereka didakwa telah hadir ke suatu majlis sabung ayam tanpa kuasa sah atau sebab yang munasabah.

Ekoran dengan pertuduhan berkenaan, mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah bangsal reban ayam di Kampung Pengkalan Rajawali, Chendering pada pukul 2:30 pagi, pada 10 Jun lalu.

Berdasarkan pertuduhan yang telah dibuat, kesemua lelaki tersebut dituduh mengikut Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sekadar info, aktiviti sabung ayam ini bukan sahaja diharamkan di Malaysia, malah telah diharamkan di kebanyakan negeri di Amerika Syarikat, Brazil, Australia dan kebanyakan negara-negara Eropah.

Aktiviti sabung ayam ini juga pernah sehingga mengakibatkan kematian.

Menerusi laporan Berita Harian, seorang lelaki maut selepas pehanya terkena taji yang dipasang pada kaki ayam sabung miliknya ketika aktiviti sabung ayam di sebuah kebun kelapa sawit di Batu 21 Jalan Bintulu-Miri, pada 29 Ogos 2021.

Oleh hal demikian aktiviti sabung ayam ini seharusnya tidaklah diteruskan oleh mana-mana pihak kerana ia bukan sahaja menimbulkan trauma kepada haiwan tersebut, malah turut boleh mengakibatkan kematian.