Wanita Dari Malaysia Jadi Datuk Bandar di Wilayah California, USA

California bakal memiliki Datuk Bandar wanita termuda dan bukan dari kalangan kulit putih bagi berkhidmat dalam jawatan itu di bandar Eastvale.

Jocelyn Yow, 25, telah dilantik sebagai Ahli Majlis Bandar Eastvale pada 2018 dan telah menyandang jawatan datuk bandar sementara sebelum dia dilantik secara rasmi pada 10 Disember baru-baru ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Mayor Jocelyn Yow (@jocelyn_yow)

Ibu kepada seorang bayi berusia enam bulan itu juga merupakan wanita berketurunan Asia dengan susur-galur dari Malaysia di sebelah bapanya, manakala ibunya pula dari Vietnam.

Bapanya telah ke Amerika Syarikat pada sekitar tahun 80-an untuk melanjutkan pelajaran, sementara ibunya lebih dahulu meninggalkan Vietnam untuk mencari kehidupan baharu di Negara Uncle Sam itu.

Jocelyn berkongsi, pada tahun 1996 mereka telah kembali ke Malaysia atas urusan keluarga dan menetap selama lebih 10 tahun.

“Semua itu membolehkan saya belajar lebih mendalam tentang sejarah keluarga, warisan dan budaya,” ujarnya di Instagram, yang antara lain turut menyatakan bahawa ibu bapanya sering menekankan tentang kepentingan perkhidmatan awam dan soal kebajikan.

Graduan di sebuah kolej komuniti di Norco, California dan UC Berkeley itu kini melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam bidang pengurusan kerajaan di Harvard Extension School.

Beliau menerusi hantaran di Instagram pernah menyatakan kebanggaannya menjadi wanita warga Amerika berketurunan Cina Malaysia dan Vietnam.

“Sangat penting untuk kita mengambil kira pandangan golongan wanita muda dan golongan ibu ketika membuat sesuatu keputusan penting yang memberi kesan pada keluarga.

“Kini dengan saya menjadi wanita dan ibu termuda untuk berkhidmat sebagai Datuk Bandar di negeri California, saya berharap lebih ramai wanita dan ibu-ibu lain akan mengikut jejak langkah ini,” ujarnya.