[VIDEO] Bapa Tiba-tiba Mengamuk Tikam Anak 18 Bulan Hingga Usus Terburai, Puncanya Didedahkan Polis

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan cedera parah di bahagian perut akibat ditikam bapanya yang dipercayai kurang siuman.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.45 petang, Sabtu, 12 Disember 2020 di rumah mangsa di Flat Puchong Permai, usus mangsa terburai akibat ditikam dengan pisau pemotong roti.

Menurut sumber, suspek berusia 27 tahun itu secara tiba-tiba mengamuk lalu bertindak menyerang mangsa.

Ahli keluarga mangsa segera menghubungi polis pada jam 4.30 petang. Bertindak di atas maklumat itu, polis menahan suspek dan turut dirampas pisau pemotong roti yang digunakan untuk menyerang anak kandungnya itu.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang dengan ambulans dan kini sedang mendapatkan rawatan. Sementara itu bapanya ditahan dan dipercayai mengalami tekanan jiwa dan berada di bawah pengaruh dadah.

Difahamkan, ibu mangsa telah menghilangkan diri sebaik saja dia dilahirkan. Mangsa tinggal bersama dengan suspek, nenek dan datuknya.

Terbaru, media melaporkan bayi tersebut telah selamat menjalani pembedahan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, pesakit telah dirujuk ke Hospital Tunku Azizah (Wanita dan Kanak-Kanak) untuk menjalani pembedahan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Keadaan bayi itu akan terus dipantau dan diberikan rawatan susulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, siasatan mereka mendapati suspek telah bercerai dengan isterinya, yang menjadi punca pekerja kedai aksesori kenderaan itu mengalami tekanan perasaan.

Keputusan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek berusia 27 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek kini direman selama lima hari sehingga 17 Disember untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 4 petang semalam, saksi yang juga jiran kepada suspek berkata, dia terdengar bunyi ketukan kuat di dinding rumah suspek sebelum melihat nenek mangsa yang mundar-mandir di luar rumahnya dalam keadaan panik.

“Pada mulanya saya menyangka bunyi itu adalah bunyi jiran sedang bertukang. Namun tidak lama kemudian, nenek mangsa memaklumkan anak lelakinya mengamuk dan menghalaunya keluar dari rumah sebelum mengunci pintu dari bahagian dalam.

Video kejadian

“Beberapa minit kemudian, anggota polis serta bomba datang dan meminta lelaki itu membuka pintu. Namun dia enggan menyebabkan polis terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan.

“Saya mengenali keluarga itu selepas tinggal di sini sejak tiga tahun lalu. Saya difahamkan bayi berkenaan tinggal bersama bapanya selepas lelaki itu bercerai dengan isterinya kira-kira dua tahun lalu.

“Sepanjang tempoh itu, mangsa dijaga oleh neneknya. Ibu suspek pernah memberitahu yang anaknya berubah menjadi panas baran setelah bercerai dengan isterinya,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Azie, 30.