[VIDEO]”Saya pakai kain pelekat ketika akad nikah”, Akhirnya Pasangan Ini Selamat Bernikah

Detik pernikahan merupakan detik indah yang bakal dikenang setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga.

Namun apa yang dialami pasangan pengantin ini apabila beberapa kali terperangkap dalam banjir semasa mahu menghadiri majlis akad nikah.

Akhirnya pasangan pengantin yang terkandas di dalam banjir ini diselamatkan dengan menaiki bot apabila kereta yang dinaiki mereka terkandas.

Berkain pelekat ketika akad nikah

Selain itu, mereka juga terpaksa melangsungkan pernikahan dengan berkain pelekat dan berpakaian biasa.

Ini kerana busana pengantin yang dipakai oleh pasangan ini yang telah koyak dan basah ketika mereka terperangkap dalam kejadian itu.

Pasangan pengantin ini adalah, Aliff Taufiq Alin Azman, 28, dan Maizatul Akmal Moh Razmi, 29, yang telah tular di media sosial sejak semalam.

Diselamat bot ketika terkandas di dalam kereta

Difahamkan mereka telah diselamatkan dengan menaiki bot setelah pacuan empat roda yang dinaiki mereka terkandas ketika mahu ke lokasi pernikahan.

Ini video yang telah tular di laman sosial Facebook yang Info Roadblock JPJ/POLIS ketika misi menyelamat pasangan pengantin ini.

Menurut Aliff Taufiq, mereka terkandas ketika dalam perjalanan untuk ke majlis akad nikah yang dijadualkan pada 10.30 pagi semalam di Masjid Kampung La.

Pada awalnya rombongan pengantin lelaki dari Machang, Kelantan itu singgah di Masjid Ulul Albab, Seberang Jertih kira-kira 9 pagi.

Selepas itu, pengantin perempuan bersama beberapa ahli keluarganya juga keluar dari Kampung La untuk menyambut rombongan pengantin lelaki dan bersiap untuk ke majlis akad nikah.

Menaiki pacuan empat roda ke majlis akad nikah

“Kami bergerak ke Kampung La kira-kira 10 pagi menaiki kenderaan sendiri tetapi terkandas di Kampung Pasir Akar sebelum ada yang tawarkan bantuan untuk hantar kami menyeberangi laluan banjir menaiki pacuan empat roda”.

“Sekali lagi kami terkandas di Kampung Batu 13 sebelum bantuan bot tiba untuk bawa kami ke kawasan selamat,” ujarnya kepada Harian Metro.

“Kami buat keputusan untuk tidak ke Masjid Kampung La tetapi ke rumah keluarga pengantin perempuan di Kampung Panchor”.

Terpaksa menunda majlis 

“Majlis akad nikah sepatutnya dijalankan pada pagi tetapi ditunda selepas solat Asar di rumah itu berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Panchor semalam,” katanya ketika ditemui hari ini.

Selain itu menurut Aliff, rombongan pengantin lelaki juga terpaksa bermalam di Kampung Panchor kerana sepanjang laluan dari Kampung Panchor ke Jertih dinaiki air.

“Kami keluar awal pagi ini menaiki trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan bantuan anggota penyelamat lain antaranya bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk melangsungkan majlis sambut menantu di Machang hari ini,” katanya.

Bersyukur telah selamat bernikah

“Namun kami bersyukur kerana majlis akad nikah selamat diadakan seperti yang dirancang walaupun dalam suasana serba ringkas saya pakai kain pelekat saja ketika akad nikah”.

“Kami juga tidak sangka ada yang sempat merakam video kami terkandas di Kampung Batu 13 ketika dalam usaha untuk keluar dari pacuan empat roda masuk ke dalam bot dan video itu tular pula di media sosial,” katanya.

Menurut Maizatul Akmal pula, dia berasa sedih kerana baju pernikahan rosak dan majlis persandingan yang dirancang semalam di Kampung Panchor terpaksa dibatalkan kerana semua laluan ke kawasan itu terputus.

Kenangan yang tidak mungkin dilupakan

“Saya tidak tahu pun video itu tular sehinggalah adik beritahu. Malu pula bila tengok video itu tetapi itulah kenangan yang tidak mungkin saya lupa”.

“Apa pun kami bersyukur kerana sudah selamat bernikah,” katanya yang tidak menyangka kawasannya dinaiki air selepas tiga tahun tidak banjir.

Tahniah kepada pasagan pengantin ini dan semoga orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga ketika musim banjir ini.