Lihat Masjid Ini Dipenuhi Lebih 600 Jemaah Solat Subuh Berjemaah Setiap Hari

Lebih dari 600 orang jemaah datang setiap hari untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid Temerloh.

Kebiasaannya Masjid akan penuh ketika Solat Jumaat yang mana sesak dengan kehadiran orang ramai yang menunaikan kewajipan pada setiap minggu itu.

Lebih 600 jemaah Solat Subuh

Namun, ini yang berlaku di Masjid Temerloh apabila setiap hari lebih dari 600 jemaah akan bersedia di saf untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.

Kemeriahan Masjid Temerloh Jaya itu telah tular apabila rumah ibadah itu meriah dan dipenuhi dengan jemaah yang datang pada solat Subuh.

Masjid itu mampu memuatkan lebih kurang 800 jemaah pada satu masa. Kemeriahan itu merupakan satu situasi yang jarang dilihat di negara ini.

Masjid dibuka 24 jam

Masjid ini juga dibuka 24 jam dan orang ramai dibenarkan berkunjung ke masjid itu pada bila-bila masa.

Faktor itu mungkin menjadi salah satu faktor mengapa Masjid itu sering dikunjungi dan dipenuhi oleh orang ramai dan masyarakat setempat.

Pengurusan masjid yang teratur

Selain itu, pastinya pengurusan masjid yang teratur dan pengurusan yang komited antara faktor lain masjid itu menjadi lokasi pilihan orang ramai.

Pengerusi masjid, Dr Abdullah Ismail turut memberitahu Sinar Harian masjid ini diurus 12 individu yang komited dalam melaksanakan tanggungjawab mengimarahkan masjid ini.

Disamping itu, jawatankuasa yang dilantik begitu komited menjayakan pelbagai agenda dalam pelan strategik 2016-2020 untuk masjid berkenaan.

Pelbagai agenda yang dirangka untuk mengimarahkan masjid

“Pelan tersebut menyasarkan enam perkara iaitu solat berjemaah menjadi keutamaan, menganjurkan pelbagai program ilmu merangkumi semua aspek”.

“Selain itu, menjadikan masjid ini sebagai medan silaturahim antaranya Makan Perdana dengan menjamu jemaah setiap Khamis minggu pertama setiap bulan”.

“Kekuatan kewangan yang juga datang dari jemaah sendiri dan masjid akan manfaatkan sebaik mungkin untuk komuniti dan keselesaan serta keperluan buat jemaah,” katanya.

Tagline “Masjid Temerloh Jaya, Masjid Kita”

Menurut beliau lagi, penggunaan tagline “Masjid Temerloh Jaya, Masjid Kita” membuatkan jemaah berasa masjid adalah milik bersama.

“Kita sentiasa menekankan kepentingan berjemaah khususnya pada solat Subuh bagi menjadikan mereka komited datang ke masjid ini setiap hari ini,” katanya.

Apa yang lebih menarik adalah, masjid ini mengamalkan konsep mesra kanak-kanak dan tiada larangan khusus membuatkan jemaah khususnya ibu bapa berasa selesa beribadat bersama keluarga.

Konsep mesra kanak-kanak

“Malah selain menganjurkan kelas fardu ain, kelas tambahan, khatan perdana serta aktiviti lain, kita juga menyediakan ruang bersantai seperti karom, ping pong serta memanah buat mereka,” katanya.

Tambahan pula, pengurusan masjid melaburkan sejumlah wang untuk memastikan keselesaan jemaah selain ia dapat menarik minat masyarakat untuk datang ke masjid.

Kemudahan masjid yang lengkap

Antaranya penyediaan pendingin hawa, karpet yang sesuai selain sistem pembesar suara yang terkini dan memastikan pekarangan dan kemudahan yang ada sentiasa bersih”.

“Kita seringkali menerima kunjungan daripada masjid-masjid dari seluruh negara yang berminat mencontohi pengurusan masjid ini dan sedia berkongsi ilmu dengan masjid-masjid lain,” katanya.

Semoga Masjid Temerloh meneruskan kegemilangan dan kejayaan dalam mengimarahkan masjid dan menjadi contoh untuk masjid yang lain.