“Bagi kes yang serius terutama yang melibatkan kecederaan parah atau maut, hukuman berbentuk penjara mandatori selain pembatalan lesen memandu adalah perlu supaya menjadi amaran kepada pengguna jalan raya yang lain,” kata beliau yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden langgar lari melibatkan seorang pelajar tingkatan satu yang kehilangan kedua-dua belah kali setelah digilis sebuah lori di Parit 16, Sungai Panjang, Sabak Bernam dekat sini Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, cebisan daging dan tulang kaki mangsa, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, bertaburan di atas jalan raya.

Sementara itu, Pakar Kriminologi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. P. Sundramoorthy turut berkongsi pandangan yang sama.

Beliau berkata, penjara mandatori diyakini setidak-tidaknya dapat mengurangkan kejadian seumpama itu berlaku memandangkan ia akan menjadi satu peringatan kepada para pemandu untuk lebih bersopan di jalan raya.

“Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu bertindak membatalkan lesen memandu pesalah seumur hidup di samping penjara mandatori dan denda,” kata beliau.

Secara umumnya, katanya, meskipun hukuman mandatori lebih bermatlamatkan penghukuman berbanding pemulihan, namun dalam insiden langgar lari matlamat itu adalah relevan memandangkan semakin ramai yang tidak serik melakukan kesalahan itu.

“Maka satu tindakan segera yang bersepadu dirasakan perlu dan ini termasuk meminda bab penghukuman undang-undang bagi membolehkan mereka yang disabit kesalahan kes langgar lari dikenakan hukuman paling berat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kolej Undang-undang dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Mohammad Fuad Othman berkata, undang-undang sedia ada sudah memadai malah insiden langgar lari selalunya berlaku kerana pesalah khuatir dibelasah oleh pengguna jalan raya.

“Sekiranya perbuatan itu tidak sengaja, adalah tidak adil kepada pesalah terbabit kerana perbuatan itu berlaku di luar niat mereka,” katanya.